PUTRAJAYA, 27 Julai – Mass Rapid Transit (MRT) telah menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam usaha mencegah penyelewengan dan salah guna kuasa dalam agensi itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Mohd Shukri Abdull berkata, SPRM mengalu-alukan kerjasama dan bantuan pihak MRT dalam usaha untuk membanteras gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam industri pengangkutan di Malaysia.

“Saya menyambut baik peluang kerjasama MRT bersama SPRM untuk membanteras gejala rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam industri pengangkutan di Malaysia,” katanya ketika menerima kunjungan hormat pegawai MRT yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT, Dato’ Sri Shahril Mokhtar di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Sementara itu, Dato’ Sri Shahril turut mengucapkan terima kasih kepada SPRM serta menyatakan bahawa isu rasuah dan salah guna kuasa perlu ditangani bermula dari Pengurusan Tertinggi hingga ke peringkat bawahan.

“ Saya berharap SPRM dapat bersama-sama MRT untuk bekerjasama dalam melaksanakan program kesedaran yang memfokuskan terhadap integriti dalam organisasi supaya wujud kesedaran bagi membanteras gejala rasuah ini terutamanya dalam kalangan kontraktor,” katanya.

Di akhir sesi pertemuan itu pihak MRT turut dibawa melawat ke beberapa tempat di Ibu Pejabat SPRM iaitu, lokap, Video Interviewing Room (VIR), bilik kawad cam, dan bilik simulasi menembak.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Dato‘ Seri Azam Baki, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme), Dato’ Ja’afar Mahad, Ketua Pegawai Kewangan MRT, Dato’ Mohd Hairul Abdul Hamid dan pengarah-pengarah bahagian SPRM.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
3
Semalam
47
Minggu Ini
319
Bulan Ini
919

Keseluruhan
3432082