Putrajaya, 29 – 30 Oktober 2012 – SPRM sekali lagi menerima kunjungan daripada agensi pencegahan rasuah luar negara. Kali ini seramai 7 orang delegasi daripada Government Inspectorate of Vietnam (GIV) yang diketuai oleh H.E Mr. Le Tien Hao, Deputy Inspector General of GIV telah mengadakan lawatan ke ibu pejabat SPRM. Lawatan ini bertujuan untuk memelihara hubungan harmoni dan menjalin kerjasama berterusan bagi kedua-dua pihak dalam memerangi jenayah rasuah. Selain itu, lawatan ini sekaligus dalam dijadikan medan untuk bertukar-tukar idea dan pandangan terutamanya dari aspek pencegahan rasuah.

Agenda dimulakan dengan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Dato’ Sri Abu Kassim Bin Mohamed di pejabatnya. Para delegasi kemudiannya dibawa ke Bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 7 untuk mendengar taklimat bertajuk Pengenalan Kepada SPRM yang telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Ahmad Khusairi Bin Yahaya, Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan. Taklimat berkisar kepada struktur organisasi SPRM meliputi latar belakang, fungsi dan peranan SPRM keseluruhannya.

Seterusnya, satu taklimat bertajuk Struktur Organisasi dan Aktiviti Bahagian Pendidikan Masyarakat telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji Shamshun Baharin Bin Mohd Jamil, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat. Pelbagai pandangan dan idea bernas telah dilontarkan dan dikongsi bersama antaranya beberapa cadangan aktiviti dan program yang dilihat mampu meningkatkan integriti selain meraih keyakinan masyarakat untuk sama-sama menyokong serta membantu SPRM dalam menjalankan fungsi dan peranannya. Selain itu, sesi soal jawab turut diadakan. Di akhir acara, para peserta turut dibawa melawat ke Galeri SPRM. Delegasi daripada GIV ini juga turut mengadakan lawatan ke Bahagian NKRA serta Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan pada keesokan harinya.

Lawatan ini sememangnya memberikan impak yang positif memandangkan kedua-dua agensi ini merupakan agensi pencegahan rasuah di negara masing-masing. Di samping itu, lawatan ini juga dapat dijadikan platform berkesan bagi membincangkan kerjasama berkaitan aktiviti pencegahan rasuah pada masa hadapan.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
26
Semalam
48
Minggu Ini
263
Bulan Ini
1400

Keseluruhan
3438534