Putrajaya, 9 Disember 2012 – Bertemakan Act Againts Corruption Today’ , buat pertama kalinya bersempena dengan Hari Anti Rasuah Sedunia, Majlis Makan Malam SPRM 2012 telah diadakan bertempat di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya (PICC).

Objektif utama penganjuran majlis ini adalah untuk meningkatkan semangat kesetiaan kepada organisasi di kalangan semua pegawai dan kakitangan SPRM. Selain itu, majlis ini bertujuan untuk meraikan pegawai dan kakitangan SPRM serta bekas pegawai SPRM yang selama ini bertungkus-lumus memastikan SPRM terus disegani dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Majlis seumpama ini juga dilihat mampu menjadi pengikat kasih dan jambatan erat menghubungkan semua pihak yang bekerjasama dan menyokong usaha-usaha SPRM dalam memainkan peranannya mencegah rasuah selama ini.

Acara yang bermula tepat pukul 9 malam di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ini menghimpunkan hampir 1000 orang jemputan yang terdiri daripada mantan Ketua Pengarah BPR/ Ketua Pesuruhjaya SPRM, mantan Peguam Kanan Persekutuan, ahli-ahli Persatuan Bekas Pegawai BPR/SPRM, ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, ahli Panel Penilaian Operasi, ahli Jawatankuasa Aduan, ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, pesara dan mantan pegawai BPR dan SPRM, pegawai-pegawai daripada agensi yang telah menandatangani Corporate Integrity Pledge (CIP), ahli jawatankuasa the 6th IAACA ACGM 2012, Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), wakil beberapa organisasi yang menandatangani Corporate Integrity Pledge (CIP), Turut hadir, YB Datuk Wira Abu Seman Bin Yusop, Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Basmi Rasuah serta tayangan klip pantun “Salasilah BPR”. Majlis kemudiannya diteruskan dengan jamuan makan malam sambil dihidangkan dengan persembahan nyanyian yang diiringi oleh Kumpulan Simfoni Panca Ritma Muzika (SPRM).

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Tuan Abdul Razak Bin Idris, Pengerusi Persatuan Bekas Pegawai SPRM. beliau merakamkan ucapan tahniah kepada SPRM di atas pencapaian di dalam Corruption Perception Index (CPI) Malaysia yang telah meningkat enam anak tangga menjadikan kedudukannya iaitu pada ranking 54 daripada 176 buah negara berbanding tahun lalu pada kedudukan ke 60 dari 183 buah Negara. Selain itu, beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas di atas segala transformasi termasuklah pelbagai inisiatif yang telah dan akan dilaksanakan oleh SPRM dalam merealisasikan misi dan hasrat Kerajaan untuk membasmi jenayah keji ini. Beliau turut memaklumkan setakat ini terdapat beberapa bekas pegawai BPR yang aktif dan memegang jawatan penting di dalam sektor swasta. Di samping itu, terdapat di kalangan mereka yang terlibat secara langsung dalam meneliti secara sindiket 20 kes yang telah dibuang di mahkamah.

Sementara itu, dalam ucapan yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Noor Bin Haji Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Aduan SPRM, beliau menegaskan “SPRM kini sedang melalui satu anjakan paradigma atau transformasi daripada tahap sederhana ke tahap yang baik atau dari tahap baik ke tahap yang cemerlang”. Ujar beliau lagi, “Kerajaan telah memperuntukan sejumlah wang yang sangat besar khusus untuk menjayakan agenda pencegahan rasuah di Negara ini”. Justeru, tegas beliau, “SPRM perlu terus mengekalkan kecemerlangan seiring dengan komitmen dan sokongan padu yang telah diberikan oleh pihak Kerajaan di samping harapan masyarakat sekeliling juga sangat tinggi terhadap SPRM”.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Dato’ Sri Abu Kassim Bin Mohamed merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada ahli-ahli panel/jawatankuasa yang sentiasa bersama-sama dengan Suruhanjaya ini dalam menasihati, memberikan pandangan dan memainkan peranan dalam membantu SPRM menjalankan fungsinya dengan lebih berkesan lagi. Selain itu, penghargaan tidak terhingga juga ditujukan kepada pesara-pesara BPR/SPRM yang sama-sama hadir pada jamuan malam ini.

Selain itu, ujar beliau lagi, “pelantikan sebagai Ahli Lembaga IACA untuk tempoh 6 tahun merupakan antara penghormatan dan penghargaan tertinggi dalam inisiatif pencegahan rasuah. Perlantikan ini sekaligus akan memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia mampu menggalakkan perkongsian dan pertukaran kepakaran antara Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia dan IACA. Ini menunjukkan sumbangan Malaysia dalam arena membanteras rasuah diiktiraf di peringkat dunia”. Namun, menurutnya cabaran berat yang perlu dihadapi oleh pegawai SPRM pada masa kini adalah apabila masalah rasuah ini dipolitikkan oleh sesetengah pihak.

Sejurus selepas ucapan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, majlis diteruskan dengan upacara pelancaran portal baru SPRM serta link portal rasmi Persatuan Bekas Pegawai SPRM. Majlis penyampaian sijil penghargaan turut disampaikan kepada pesara SPRM 2012 dan wakil Jawatankuasa Penganjuran 6th IAACA ACGM 2012. Majlis diakhiri dengan sesi bergambar.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
27
Semalam
48
Minggu Ini
264
Bulan Ini
1401

Keseluruhan
3438535