Putrajaya, 10 Disember 2012 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan kerjasama TV Al Hijrah telah mengadakan rakaman Rancangan 60 Minit Ustaz Don bersama pendakwah terkenal negara, Ustaz Don Daniyal bin Don Bijayid dengan tema Rezeki Bawah Meja di Dewan Serbaguna Aras B2, Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya.

Hampir 500 orang pegawai dan kakitangan SPRM serta pegawai dan kakitangan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menghadiri rakaman ini. Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Dato’ Sri Haji Abu Kassim Bin Mohamed serta beberapa Pengarah Bahagian SPRM.

Ustaz Don memulakan rakaman dengan menghuraikan makna rasuah dan risywah. Menurutnya, perkataan rasuah sebenarnya berasal daripada perkataan Arab iaitu ”al-risywah”. Beliau menyatakan betapa pentingnya mencari rezeki dengan cara yang halal. Beliau turut memberikan beberapa contoh kesan daripada mengambil hak orang lain dan hasil rezeki yang tidak berkat. Beliau juga turut merungkai satu persatu maksud ayat 188, di dalam Surah Al-Baqarah. Justeru, ujarnya lagi setiap umat Islam perlu sama-sama berusaha untuk memerangi rasuah daripada terus merebak dan menjadi amalan di kalangan masyarakat. Sesungguhnya, perbuatan ini juga dikutuk dengan kerasnya oleh Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud Allah SWT melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya.

Beliau turut memetik kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg Dato’ Sri Haji Abu Kassim bin Mohamed, apabila seseorang bercakap mengenai sesuatu, ianya hanyalah mengenai sesuatu. Tetapi apabila seseorang bercakap mengenai ”perubahan” ianya adalah mengenai SIAPA.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
26
Semalam
48
Minggu Ini
263
Bulan Ini
1400

Keseluruhan
3438534