Kota Tinggi, 26 Mei - Kumpulan Yayasan Pelajaran Negeri Johor (YPJ) bersama dua entiti di bawahnya iaitu YPJ Holdings dan Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) hari ini sebagai salah satu inisiatif menyokong usaha pencegahan rasuah.

Majlis yang berlangsung di Orchard Golf & Country Resort ini dihadiri oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Mustafar Ali; Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Kerajaan Negeri Johor, Tuan Haji Mohd Noh Ibrahim; Pengurus Besar YPJ, Tuan Haji On Jabbar dan Pengarah SPRM Johor, Dato' Azmi Alias serta kira-kira 250 kakitangan YPJ.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali menerusi ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada YPJ yang memberikan komitmen yang tinggi bagi memastikan Majlis CIP tersebut berlangsung.

"CIP bukan hanya sebagai satu majlis sahaja tetapi perlu diteruskan menerusi pelan tindakan untuk jangka masa panjang".

"Kita juga berharap agar YPJ akan terus memberi sokongan terhadap inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan SPRM dalam usaha menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah." tegas beliau lagi.

Menerusi majlis ini Pengurus Besar YPJ, Tuan Haji On Jabbar mewakili Kumpulan YPJ menandatangani Ikrar Integriti Korporat sambil disaksikan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sumber Manusia Kerajaan Negeri Johor, Tuan Haji Mohd Noh Ibrahim; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Mustafar Ali dan Pengarah SPRM Johor, Dato' Azmi Alias.

Bacaan Ikrar Integriti Korporat kemudiannya turut diketuai Tuan Haji On diiringi Ketua Pegawai Eksekutif YPJ Holdings, Haji Elias Hasran dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ) Haji Abul Razak Mohd Saad serta kira-kira 250 petugas Kumpulan YPJ.