Pasir Gudang, 26 Mei - Bagi meneruskan agenda memerangi rasuah di negara ini, SPRM Johor telah menganjurkan Program Merakyatkan SPRM Johor Bersama Syarikat Swasta Negeri Johor di Hotel Selesa, Pasir Gudang semalam. Program ini bertujuan untuk memberi penerangan dan kefahaman berhubung usaha-usaha pencegahan rasuah yang dilaksanakan dalam sektor swasta. Selain itu, program ini merupakan platform terbaik untuk SPRM mendapatkan sokongan sektor swasta di samping peluang untuk meningkatkan jalinan kerjasama dengan mereka. Dianggarkan seramai 140 orang peserta yang terdiri dari pelbagai syarikat swasta di negeri Johor menghadiri program ini. Antara syarikat yang terlibat adalah Sime Darby, Johor Port, Pelabuhan Tanjung Langsat, Lembaga Pelabuhan Johor, IFFCO Malaysia Sdn Bhd dan Natural Oleochemicals Sdn Bhd. Program dimulakan dengan ceramah bertajuk Peranan Masyarakat Dalam Pencegahan Rasuah yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat, KPKPj Abdul Samat Bin Kasah. Sementara itu, sesi ceramah kedua diteruskan dengan ceramah bertajuk ”Integriti Korporat : Dasar dan Polisi” yang disampaikan oleh YBhg. Datuk Haji Mustafar Bin Haji Ali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM. Dalam ceramahnya beliau turut menyentuh berkenaan Pelan Tindakan Integriti Korporat dan tadbir urus korporat yang baik dalam sesebuah organisasi. Selain itu, turut dikongsi adalah faktor-faktor berlaku rasuah dalam sektor swasta antaranya seperti kawalan dalaman yang lemah dan longgar. Pelbagai soalan telah diajukan kepada YBhg. Datuk semasa sesi soal jawab. Antara soalan yang ditanya adalah peranan dan penglibatan SPRM dalam sektor swasta dan cabaran-cabaran yang dilalui SPRM dalam memerangi rasuah. Selain itu, turut ditanya soalan berkaitan siasatan terhadap kes ikan bilis vs ikan jerung, persepsi negatif masyarakat terhadap SPRM dan kesalahan rasuah yang telah lama berlaku namun tidak dilaporkan kepada SPRM.