Alai, 2 Jun – Seramai 9 orang ahli Panel Perundingan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang diketuai oleh YBhg. Tan Sri Johan Bin Jaafar telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir. Idirs Haron di Pejabat Ketua Menteri di Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Hj Mustafar Ali, Pengarah-pengarah Bahagian Pencegahan yang terdiri daripada Dato’ Shamsun Baharin Bin Mohd Jamil, Dato’ Hj Mohd Yusof Bin Akope, Dato’ Norazlan Bin Mohd Razali, KPKPj Rohaizad Yaacob, KPKPj Junipah Wandi dan Pengarah SPRM Melaka Tuan Ramli Bin Ismail.

Dalam pertemuan tersebut, Datuk Seri Ir. Idris Haron memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha membanteras rasuah secara menyeluruh bagi membentuk budaya integriti yang tinggi di dalam kerajaan Negeri Melaka dan mahu menjadikan Melaka sebagai negeri contoh serta dipandang tinggi.

Beliau turut mencadangkan supaya pihak SPRM mengadakan Pusat Informasi di Pejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memudahkan orang awam melaporkan aduan berkaitan dengan rasuah.

Sementara itu, Tan Sri Johan yang mewakili Ahli PPPR juga menyifatkan bahawa kesudian kerajaan negeri melaka menerima kunjungan Ahli PPPR ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri melaka begitu komited dalam membanteras rasuah secara menyeluruh. Beliau juga mahu negeri-negeri lain mencontohi apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Melaka dan kunjungan seperti ini perlu diteruskan ke negeri-negeri lain dalam usaha SPRM memerangi rasuah.

Mesyuarat bulanan PPPR seterusnya diadakan di Pejabat SPRM Melaka pada sebelah petang. Mesyuarat tersebut membincangkan berkaitan hal ehwal terkini berkaitan SPRM. Ahli PPPR turut dibawa melawat ke Video Interviewing Room (VIR), Lokap, Bilik Gerakan Operasi (BGOS) dan Bilik Kawad Cam disamping diberikan penerangan berkaitan fasiliti yang terdapat di bangunan SPRM Melaka.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama Ahli PPPR dan Pengarah-pengarah Bahagian serta Pengarah SPRM Melaka untuk kenang-kenangan.