Gebeng, 8 Jun – Bahagian Pendidikan Masyarakat dengan kerjasama Unit Integriti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menganjurkan Bengkel Penyediaan Pelan Strategik Pencegahan Rasuah (PSPR) pada 7 hingga 10 Jun 2015 bertempat di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah Gebeng, Pahang.

PSPR merupakan usaha pencegahan rasuah secara bersepadu dan berterusan sebagai usaha dalaman organisasi yang sistematik dan berkesan berdasarkan kepada prinsip “mencegah lebih baik dari mengubati”.

Objektif utama bengkel ini diadakan adalah untuk merangka satu Pelan Strategik Pencegahan Rasuah (PSPR) untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam usaha menangani gejala rasuah di kalangan warga APMM.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Samsuni Bin Mohd Nor, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) APMM. Dianggarkan seramai 51 orang peserta yang terdiri daripada pegawai APMM dan pegawai SPRM termasuk Ketua-Ketua Unit PenMas negeri.

Pelbagai pengisian telah diadakan sepanjang empat hari tiga malam bengkel ini berlangsung antaranya taklimat Pengenalan Kepada Akta SPRM 2009, Pengenalan Mengenai Konsep Pelan Strategik Pencegahan Rasuah (PSPR) serta perbincangan dan penyediaan PSPR.

Turut diadakan lawatan ke Pelabuhan Kuantan, Tanjung Gelang pada hari ketiga bengkel diadakan. Para peserta turut dibawa meninjau ke beberapa buah kapal antaranya KM Langkawi yang berusia lebih 32 tahun.