Cetak
Hit: 4729

Kuala Kubu Bharu, 13 Jun – SPRM telah dijemput untuk memeriahkan Program Permukiman Jalinan Silaturrahim anjuran Kolej Universiti Islam Antrabangsa Selangor (KUIS) Bersama Penduduk Kampung Melayu Rasa, Kuala Kubu Bharu baru-baru ini.

Program yang diadakan di Masjid Al-Kholidiah, Kampung Melayu Rasa ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat kerjasama dan saling menghormati serta menanam nilai-nilai murni melalui aktiviti yang dijalankan.

Selain itu, program ini juga bermatlamat untuk mewujudkan persefahaman antara ahli institusi pendidikan dan masyarakat yang sekaligus dapat meningkatkan keharmonian sejagat.

Dianggarkan seramai 300 orang penduduk kampung termasuklah mahasiswa dari Pusat Pengajian Teras, KUIS serta pegawai-pegawai SPRM telah menghadiri program ini. SPRM turut menyediakan booth pameran untuk dikunjungi oleh penduduk setempat.

Pelbagai pengisian menarik telah disusun sepanjang satu hari program ini berlangsung. Program yang bermula seawal 9.00 pagi ini dimulakan dengan aktiviti gotong royong membersihkan Masjid Al-Kholidiah serta ziarah mahabbah ke rumah penduduk kampung.

Program seterusnya diteruskan dengan Kuliah Perdana Dhuha yang disampaikan oleh Pencetus Ummah Azihal Bin Bangsawan yang juga merupakan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam KUIS. Berikutnya merupakan majlis perasmian yang disempurnakan oleh YBhg. Dr. Mokmin Basri Timbalan Rektor Pembangunan Mahasiswa dan Alumni KUIS.

Di sebelah petangnya pula, program diteruskan dengan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan kuiz uji minda. Selain itu, turut diadakan program motivasi remaja cemerlang khusus untuk pelajar berumur 12 tahun ke atas.

Program berakhir dengan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.