Taiping, 22 Jun – Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping telah dipilih menjadi MRSM pertama di Malaysia menjayakan kempen Wira Anti Rasuah peringkat MRSM.

Program Masyarakat Harmoni Tanpa Rasuah – Wira Anti Rasuah (WAR) ini diadakan bagi memperkenalkan Kempen WAR secara lebih menyeluruh melibatkan pelbagai peringkat sekolah di seluruh Malaysia.

Objektif utama pelaksanaan Kempen WAR ini adalah untuk mendedahkan kepada pelajar tentang fungsi, peranan dan cara-cara melaporkan rasuah dan menyampaikan mesej berkenaan kepada pihak lain terutamanya ahli keluarga mereka.

Selain itu, melalui Kempen WAR ini dapat membentuk para pelajar membudayakan nilai anti rasuah dan integriti agar lebih bertanggungjawab dalam membangunkan negara yang berintegriti dan bebas dari salah laku rasuah.

Program yang berlangsung selama satu hari ini dimulakan dengan program pencegahan rasuah yang dijalankan secara serentak kepada guru-guru dan kakitangan MSRM serta pelajar. Program pencegahan rasuah yang melibatkan guru telah diadakan di Pusat Sumber Pembelajaran membabitkan seramai 150 orang guru dan kakitangan. Ceramah bertajuk Jenayah Rasuah dan Hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Perak, Penolong Pesuruhjaya Hamidah Binti Aziz.

Sementara itu, bagi program pendididkan pencegahan rasuah yang melibatkan 150 pelajar tingkatan 4 dikendalikan oleh Penolong Pesuruhjaya Maznah Binti Che Muda dan dibantu oleh pegawai PenMas SPRM Negeri Perak. Para pelajar dibahagikan kepada 10 kumpulan dan mereka perlu membuat persembahan berdasarkan kefahaman mereka berkenaan jenayah rasuah selama 10 minit bagi setiap kumpulan.

Secara keseluruhannya, para pelajar dapat memahami apa itu rasuah melalui persembahan yang dipersembahkan. Mereka telah membuat persembahan yang menarik mengikut kreativiti mereka dihadapan tiga panel juri yang diketuai oleh Penolong Pesuruhjaya Hamidah Binti Aziz. Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Tuan Abdul Latif Bin Osman Ketua Unit Integriti MARA

Program diteruskan dengan majlis berbuka puasa bertempat di Dewan Besar MRSM Taiping. Sementara menantikan waktu berbuka puasa, Tuan Abdul Latif Bin Osman Ketua Unit Integriti MARA telah menyampaikan kata-kata amanat kepada lebih 150 orang jemputan.

Dalam ucapannya beliau berkata, ”dengan adanya program seperti ini, dapat memberi pendedahan kepada para pelajar yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara tentang kesan buruk rasuah terhadap pentadbiran negara pada masa hadapan”.

Turut hadir, Timbalan Pengarah SPRM Perak PKPj Mohamad Bin Hassan yang mewakili Pengarah SPRM Perak, Pengetua Cemerlang SPRM Taiping Encik Ahmad Sanusi Bin Hashim, Timbalan Pengetua Hal Ehwal Pelajar (HEP) Encik Shauqi Bin Mohd Noor, pegawai-pegawai SPRM Negeri Perak, Cawangan Taiping dan Cawangan Telok Intan.