Kuantan, 1 Julai - SPRM Pahang dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan Kampung Semambu (JKKK), Kesatuan Rukun Tetangga (KRT) dan Jawatankuasa Masjid Semambu Kuantan telah menganjurkan Program Merakyatkan SPRM – Satu Perjuangan Bersama bertempat di Masjid Semambu Kuantan.

Majlis bermula dengan ucapan aluan oleh Encik Ramli Bin Talib, Pengerusi JKKK merangkap Ketua Kampung Semambu. Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan program ini dan akan sentiasa menyokong segala usaha murni SPRM dalam membanteras rasuah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang YBhg. Dato’ Zainul Bin Idrus telah menyampaikan taklimat Pencegahan Rasuah kepada penduduk setempat. Dalam sesi taklimatnya, beliau menyeru penduduk yang hadir agar sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada SPRM.

Menurutnya, “sokongan masyarakat sangat penting bagi memastikan hasrat SPRM untuk menghapuskan jenayah keji ini dapat direalisasikan”. Beliau turut memaklumkan cara untuk melaporkan rasuah sekiranya mempunyai maklumat berkaitan rasuah.

Majlis diteruskan dengan penyampaian surah yasin dan pengedaran bahan kempen seperti risalah SPRM kepada masjid dan penduduk setempat. Sementara itu, turut diadakan sumbangan berupa makanan asas kepada golongan asnaf yang disumbangkan oleh pegawai dan kakitangan SPRM Pahang termasuk Cawangan Temerloh dan Cawangan Raub.

Majlis Tazkirah Ramadhan bertajuk “Mencari Rezeki Yang Halal” telah disampaikan oleh Ustaz Azahar Bin Jaafar @ Ramli, Dekan Kolej Antarabangsa IKIP sementara menantikan waktu berbuka puasa.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan berbuka puasa, solat maghrib dan solat isyak berjemaah serta majlis berakhir dengan solat sunat terawih.

Dianggarkan seramai 500 orang penduduk setempat telah menghadiri program ini. Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kuantan, Pegawai Perpaduan Daerah Kuantan, jabatan kerajaan, pegawai-pegawia SPRM dan pelajar politeknik sekitar Kuantan. Turut diadakan pameran di sekitar kawasan masjid.