PUTRAJAYA, 13 Februari - Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) hari ini menjadi badan kehakiman pertama di Malaysia yang mengambil inisiatif menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai tanda komitmen dalam menjauhi jenayah rasuah dan salahguna kuasa.

Majlis yang diadakan di Kompleks Islam Putrajaya itu disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Datuk Dzulkifli Ahmad bersama Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Yang Amat Arif Tan Sri Dato’ Setia Dr. Ibrahim Lembut.

Datuk Dzulkifli berkata, institusi kehakiman syariah yang ditadbir oleh JKSM perlu menjadi sebuah institusi yang sentiasa bersih serta bebas daripada sebarang anasir rasuah dan salahguna kuasa.

Tambah beliau, inisiatif JKSM hari ini adalah amat penting kerana rakyat sering memerhati, menguji dan menilai perjalanan pentadbiran institusi kehakiman syariah di dalam negara ini, dan kemampuannya dalam mendepani isu-isu perundangan yang kontroversial, sambil disulami gelombang pemikiran yang lebih kritis dari masyarakat.

“Sekiranya rakyat memiliki persepsi yang negatif terhadap institusi kehakiman syariah dan warganya, akibat daripada dicemari isu rasuah dan salah guna kuasa maka bukan sahaja martabat dan maruah institusi kehakiman syariah di negara ini akan terkesan malah kesucian agama Islam itu sendiri pasti akan tercalar juga,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

IBR merupakan inisiatif baharu yang dipelopori SPRM yang memberi penekanan kepada ikrar yang dibuat oleh para kepimpinan sesebuah organisasi dan warganya dalam kapasiti sebagai individu.

Turut hadir pada majlis ini ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, YBhg. Dato’ Shamshun Baharin Mohd Jamil dan Ketua Pendaftar JKSM, Yang Berusaha Tuan Mohamad Shakir Abdul Hamid.

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
25
Semalam
48
Minggu Ini
262
Bulan Ini
1399

Keseluruhan
3438533