Alhamdullilah syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat kita bersua di platform maya ini.

Selamat datang kepada semua pengunjung portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Portal ini merupakan wadah terbaik SPRM dalam mendekati masyarakat selain menjadi medium utama dalam menyampaikan maklumat penting mengenai SPRM.

Selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu dilantik pada 9 Mac 2020, saya berasa amat bangga dan berterima kasih kepada kepimpinan tertinggi SPRM terdahulu dan semua pihak yang telah memberikan sokongan dan kerjasama berterusan bagi memastikan suruhanjaya ini kekal relevan dalam menjalankan peranannya sehingga ke pelusuk dunia.

Medium baharu menggunakan maya kini menjadi amalan komunikasi yang pesat dan jambatan penghubung dalam berkongsi maklumat. Maklumat boleh diakses oleh sesiapa sahaja, namun perlulah diperolehi dari sumber yang sah. Untuk itu, SPRM akan berusaha memastikan kelebihan portal ini sebagai pemudah cara serta pilihan utama kepada masyarakat di luar sana memperoleh rujukan maklumat dengan cara yang mudah, tepat dan berkesan.

Tiga strategi utama teras kerja SPRM iaitu Operasi, Pencegahan dan Pendidikan mampu disampaikan dan diperjelaskan secara lebih strategik dan efisien kepada pengunjung. Pemahaman masyarakat adalah sangat penting dan kritikal bukan sahaja bagi menjelaskan mengenai fungsi dan peranan SPRM secara menyeluruh, bahkan penting bagi memastikan mereka faham dan yakin bahawa SPRM adalah bersama rakyat dan akan terus berjuang membela rakyat dalam isu-isu rasuah dan salah guna kuasa. Justeru saya berharap agar maklumat yang dipaparkan ini dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan tidak disalahgunakan bagi tujuan yang boleh memberikan sebarang persepsi negatif.

Kepada warga SPRM, saya telah mengarahkan mereka agar sentiasa meningkatkan prestasi masing-masing di samping menjaga integriti dalam melaksanakan tugas serta amanah bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam terpelihara.

Kecemerlangan oleh generasi terdahulu perlu dikekalkan kerana realitinya masyarakat masih menuntut SPRM menyelesaikan 1001 masalah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang berlaku di negara ini.

Besarlah harapan saya agar suruhanjaya ini terus diberikan sokongan oleh masyarakat di luar sana serta ruang kepada kami untuk melaksanakan tugas dengan bebas, telus dan profesionalisme tanpa prejudis.

Sekian.

Rasuah Dihina Maruah Dibina

 

Datuk Seri Azam Baki
Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

TOP

Statistik Pelawat


Hari Ini
13
Semalam
47
Minggu Ini
319
Bulan Ini
1400

Keseluruhan
3447764