Pertanyaan Seksyen 17A Akta SPRM 2009

Apa yang dimaksudkan dengan ‘liabiliti korporat’?

‘Liabiliti korporat’ merujuk kepada Seksyen 17A Akta SPRM 2009 - kesalahan oleh organisasi komersial. Peruntukan ini mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2020.

Berdasarkan peruntukan ini, organisasi komersial boleh didakwa dan dihukum sekiranya membenarkan pegawai/kakitangan mereka melakukan rasuah untuk memperoleh sesuatu projek atau mendapat apa-apa faedah bagi organisasi komersial itu.

Seksyen 17A Akta SPRM meletakkan beban pencegahan rasuah ke atas organisasi komersial dan pengurusannya. Kegagalan untuk mencegah rasuah boleh didakwa dan dihukum di bawah peruntukan ini.

Adakah kesalahan ‘liabiliti korporat’ yang dilakukan sebelum 1 Jun 2020 boleh didakwa di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009?

Peruntukan baharu ini tidak bersifat ‘retrospective’. Pendakwaan bagi kesalahan ini boleh dibuat bagi kesalahan yang berlaku selepas peruntukan undang-undang ini dikuatkuasakan (1 Jun 2020).

Bagaimana kesalahan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 ini boleh berlaku?

Pertama sekali, kesalahan ini hanya melibatkan perbuatan menawar, menjanjikan atau memberi suapan.

Kesalahan berlaku apabila:

  • seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial
  • memberikan / bersetuju untuk memberikan / menjanjikan / menawarkan suapan (rasuah).
  • Rasuah bertujuan:
    1. untuk memperoleh atau mengekalkan perniagaan bagi organisasi komersial itu; atau
    2. untuk memperoleh atau mengekalkan faedah dalam menjalankan perniagaan bagi organisasi komersial itu.
Saya kurang jelas, boleh berikan contoh bagaimana kesalahan ini boleh berlaku?

Ilustrasi yang menjelaskan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial adalah seperti di bawah:

Mahmud adalah pegawai pemasaran syarikat Dadidu Sdn. Bhd. Syarikat ini menjalankan penyelenggaraan pejabat. Mahmud telah memberi rasuah kepada pengarah syarikat Alam Barzakh Sdn. Bhd. untuk mendapat projek penyelenggaraan di syarikat itu.

Tindakan Mahmud tu boleh menyebabkan syarikat Dadidu Sdn. Bhd. dan pengurusan syarikat didakwa di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Apakah jenis organisasi yang boleh didakwa kerana kesalahan rasuah?

Jenis organisasi komersial yang boleh didakwa kerana rasuah dinyatakan di bawah Seksyen 17A(8) Akta SPRM 2009.

Secara mudahnya, terdapat 4 kategori organisasi yang termasuk dalam definisi ‘organisasi komersial’ iaitu:

  1. Organisasi yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016

    Contoh: Syarikat ABC Sdn. Bhd, Syarikat DDD Berhad

  2. Perniagaan yang ditubuhkan di bawah Akta Perkongsian 1961

    Perniagaan yang mempunyai 2-20 orang pemilik. Selalunya firma perakaunan, firma guaman dan sebagainya ditubuhkan di bawah Akta Perkongsian 1961.

  3. Perniagaan yang ditubuhkan di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012

    Merupakan alternatif kepada perniagaan perkongsian. Kelebihan penubuhan di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 adalah daripada segi liabiliti (hutang). Apa-apa hutang perniagaan akan ditanggung sepenuhnya oleh aset-aset perniagaan. Berbeza dengan perkongsian konvesional (ditubuhkan di bawah Akta Perkongsian 1961), rakan kongsi mempunyai tanggungan liabiliti atau hutang-hutang secara bersama.

  4. Syarikat atau perniagaan luar negara yang menjalankan perniagaan di Malaysia

    Syarikat luar negara (contohnya, syarikat antarabangsa atau multi-national company) yang mempunyai cawangan atau anak syarikat di Malaysia.

Apakah dimaksudkan dengan ‘orang yang bersekutu dengan organisasi komersial’?

Kesalahan rasuah oleh organisasi komersial berlaku apabila ‘seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial’ menawar atau memberi rasuah yang memberi faedah kepada perniagaannya.

Seksyen 17A(6) Akta SPRM 2009 mendefinisikan ‘seseorang yang bersekutu dengan organisasi komersial’ sebagai:

  1. Pengarah, rakan kongsi atau pekerja kepada organisasi komersial; atau
  2. Individu yang melaksanakan tugas bagi pihak organisasi komersial berkenaan. Contohnya, perunding/konsultan dan orang tengah. Dengan kata lain, perbuatan menawar/memberi/bersetuju untuk memberi rasuah oleh individu di atas boleh menyebabkan organisasi mereka didakwa.
Mengapa undang-undang ini wujud?

Peruntukan mengenai kesalahan rasuah oleh organisasi komersial atau liabiliti korporat ini bukan hanya bersifat punitif. Tindakan mendakwa dan menghukum akan diambil sekiranya kesalahan rasuah telah berlaku.

Tujuan utama peruntukan ini adalah:

  • Mewujudkan persekitaran perniagaan yang adil, bersih dan bebas rasuah.
  • Menggalakkan organisasi komersial melaksanakan usaha pencegahan rasuah dalam organisasi.
  • Mempromosikan tadbir urus baik dan pematuhan undang-undang pencegahan rasuah.
Adakah ada negara lain yang mempunyai peruntukan undang-undang berkaitan kesalahan rasuah oleh organisasi komersial?

Peruntukan ini bukan sesuatu yang baharu. Banyak negara telah mempunyai peruntukan yang boleh mendakwa orgnisasi komersial kerana perbuatan rasuah.

Berikut adalah antara undang-undang di luar negara yang mempunyai peruntukan ini (kesalahan rasuah oleh organisasi komersial):

  • United Kingdom - UK Bribery Act 2010
  • Amerika Syarikat - The Foreign Corrupt Practices Act 1977
  • Brazil - Federal Law No. 12,846/2013
  • Kanada - Criminal Code & Corruption of Foreign Public Officials Act
  • Australia - Criminal Code Act 1995
Adakah kementerian/jabatan/agensi kerajaan boleh didakwa kerana rasuah?

Kementerian/jabatan/agensi kerajaan tidak tertakluk kepada peruntukan ini.

Sesuai dengan penjelasan Sekysen 17A Akta SPRM 2009 iaitu ‘kesalahan oleh organisasi komersial’, kesalahan ini diperuntukkan khas kepada organisasi korporat. Selain itu, peruntukan ini juga dikenali dengan nama ‘liabiliti korporat’.

Sekiranya organisasi/syarikat yang dimiliki kementerian, jabatan atau NGO, adakah tertakluk kepada Seksyen 17A Akta SPRM 2009?

Sekiranya termasuk dalam mana-mana kategori di bawah Seksyen 17A(8) Akta SPRM 2009, syarikat/organisasi berkenaan adalah tertakluk kepada kesalahan ini.

Contoh: Sekiranya organisasi/syarikat berkenaan diperbadankan/ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016, Akta Perkongsian 1961 atau Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012, organisasi/syarikat tersebut adalah tertakluk kepada Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Bagaimana sesebuah organisasi komersial boleh mengelakkan daripada didakwa kerana kesalahan ini?

Bagi mengelakkan organisasi komersial didakwa di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009, organisasi komersial mesti melaksanakan usaha-usaha bagi memastikan rasuah tidak berlaku dalam urus niaga perniagaan. Usaha-usaha ini mesti mencukupi dengan mengambil kira saiz organisasi, jenis peniagaan dan tahap risiko rasuah yang dihadapi oleh organisasi terbabit.

Kerajaan telah mengeluarkan Garis Panduan Tatacara Mencukupi seperti yang yang dikehendaki di bawah Seksyen 17A(5) Akta SPRM 2009. Garis panduan ini adalah sebagai rujukan kepada organisasi komersial mengenai usaha-usaha yang boleh dilaksanakan untuk mencegah jenayah rasuah.

Bagaimana syarikat hendak merujuk kepada garis panduan tatacara pencegahan rasuah tersebut?

Garis panduan ini boleh dimuat turut di laman web giacc.jpm.gov.my.

Sekiranya syarikat sudah mempunyai langkah pencegahan seperti ABMS dan Corporate Integrity Pledge (CIP), adakah syarikat masih boleh didakwa di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009?

Pematuhan kepada ABMS dan CIP bukan jaminan bahawa tatacara pencegahan rasuah adalah mencukupo bagi sesebuah organisasi komersial. Apa yang penting adalah organisasi komersial dapat menunjukkan kepada mahkamah bahawa prosedur dan amalan dalam mencegah rasuah adalah efektif dan bukan hanya di atas kertas sahaja.

Hit : 61091