SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima daripada Kementerian Kewangan mengenai butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang telah dibelanjakan oleh kerajaan pada tahun 2020 dan 2021 berkaitan pengurusan Covid-19.
Hasil siasatan awal mendapati jumlah peruntukan yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion. Berdasarkan jumlah tersebut, RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan manakala RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan.
Justeru, fokus siasatan SPRM akan terarah kepada dana sebanyak RM92.5 bilion berkenaan. Pihak Kementerian Kewangan sedang memperincikan pecahan tersebut dan akan menyerahkannya kepada SPRM pada minggu hadapan.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
9 DISEMBER 2022