Kenyataan Media

Siasatan SPRM Fokus Kenal Pasti dan Pemulangan Dana Terkait 1MDB

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merujuk kepada pendedahan saksi utama, Pengerusi Goldman Sachs Group Inc. Asia Tenggara, Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat dalam kes berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan Datuk Dr. Tawfiq Ayman iaitu suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

Harus dijelaskan bahawa isu ini bukan sesuatu yang baharu. Bekas Peguam Negara pada hujung 2018 telah menyelaraskan koordinasi siasatan antara SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan kes ini.

Menerusi koordinasi tersebut, fokus SPRM adalah untuk mengenal pasti serta mendapatkan semula dana terkait dengan kes 1MDB termasuk sejumlah AS$15.4 juta, yang melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd. milik Tawfiq. Pada 19 November 2021 lalu, SPRM telah mengeluarkan kenyataan media mengesahkan pemulangan tersebut.

Manakala Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan PDRM untuk menumpukan kepada aspek kesalahan jenayah berhubung penerimaan wang tersebut ke dalam akaun milik Tawfiq di Singapura dan siasatan masih berjalan sehingga kini.

Penyelarasan ini adalah untuk mengelakkan pertindihan dalam siasatan melibatkan pengumpulan bukti-bukti dan keterangan mereka yang terlibat serta sebagai kemudahan untuk berurusan bersama pihak Singapura yang memberi keutamaan kepada satu agensi penguat kuasa yang menjalankan siasatan kesalahan jenayah.

Sehubungan itu, tidak timbul isu kegagalan mana-mana agensi penguat kuasa untuk mengesan, menyiasat dan mendakwa apa-apa kesalahan dalam transaksi kewangan tersebut seperti yang dibangkitkan oleh segelintir pihak.

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

3 MAC 2022


Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |