Kenyataan Media

HARA 2021 Peringkat Kebangsaan : SPRM Berkongsi Inisiatif Pencegahan Rasuah Dengan Komuniti Profesional Ekspatriat di Negara Ini

Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2021 peringkat kebangsaan yang diraikan hari ini menyasarkan penglibatan komuniti profesional ekspatriat di negara ini dalam usaha memerangi rasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bertemakan ‘Your Right, Your Role: Say No To Corruption’, SPRM telah berkongsi mengenai inisiatif-inisiatif berkaitan anti rasuah dilaksanakan oleh kerajaan dan SPRM sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Di peringkat ibu pejabat, SPRM telah mengadakan sesi taklimat dan dialog melibatkan pengurusan tertinggi SPRM dengan ekspatriat perniagaan yang mewakili negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU), China, Kanada, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan, India, Indonesia dan Chinese Taipei.

Program ini turut dijalankan secara serentak oleh SPRM Negeri secara bersemuka dan di atas talian antara SPRM dan warga korporat antarabangsa melibatkan pelbagai sektor industri di beberapa lokasi terpilih yang telah ditetapkan.

Sambutan HARA 2021 diadakan menyusuli pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2003 yang menetapkan 9 Disember setiap tahun sebagai sambutan HARA.

Bersempena dengan sambutan itu juga, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki telah menyampaikan amanat beliau tentang kepentingan membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa ketika menghadiri Majlis Perasmian Sambutan HARA 2021 di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

Program anjuran bersama SPRM dan Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) kali ini mendapat kerjasama dengan penglibatan tiga rakan strategik iaitu Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Transparency International Malaysia (TI-M) dan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO).

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA

9 DISEMBER 2021

Muat Turun

Hubungi Kami

Ibu Pejabat SPRM
No. 2, Lebuh Wawasan,
Presint 7, 62250 Putrajaya.

+603-8870 0000
+603-8870 0901

Hak Cipta Terpelihara © 2020 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Penafian |  Dasar Keselamatan |  Notis Hakcipta |  Dasar Privasi |