Berita Terkini

Penjawat awam perlu telus laksana tugas – KP SPRM

Kuala Lumpur, 12 Ogos – Kakitangan awam perlu menjalankan tugas dengan penuh amanah dalam memberikan perkhidmatan yang telus agar mampu mencapai matlamat yang dihasratkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata ketika berada dilapangan kerja, penjawat awam seharusnya melaksanakan tanggungjawab dengan baik tanpa rasa takut atau pilih kasih.

“Kakitangan awam perlu menjadikan contoh-contoh kes rasuah sebagai tauladan dan sempadan ketika menjalankan tugas.

"Semua kakitangan awam jangan mula terlibat dalam jenayah rasuah kerana amalan ini akan mengikis budaya beretika dan integriti dalam organisasi," ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Bicara Integriti: “Rasuah Dihina, Maruah Dibina” di Auditorium Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara.

Tambah beliau, kakitangan awam seharusnya menjauhi perkara-perkara yang boleh menjerumuskan diri dengan rasuah seperti gaya hidup mewah, berjudi, tamak dan menanggung bebanan hutang yang banyak.

Sementara itu, SPRM akan terus komited untuk membantu negara dalam meningkatkan ekonomi dengan mengurangkan ketirisan melalui tindakan siasatan yang proaktif.

Seramai 160 peserta dari Program Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) INTAN, Tahun 2020 hadir dalam majlis ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kanan INTAN, Puan Salinah Ismail serta Ketua Kluster Pembangunan Profesional dan Etika INTAN, Dr. Jamaluddin Mohd. Ali.

 

Hit : 1674