Berita Menarik

‘Datuk Roy’ ditahan reman 3 hari bantu siasatan kes Jana Wibawa

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai ‘Datuk Roy’ ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan berkaitan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman individu itu bermula hari ini hingga Khamis ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

‘Datuk Roy’ yang memakai baju lokap warna jingga hadir di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 10.30 pagi diiringi beberapa anggota SPRM.

Peguam Fahmi Abd. Moin memberitahu wakil media, anak guamnya menyerah diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur pada 2.30 petang, sebelum ditahan pada 3 petang.

Menurut beliau, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu atas kesalahan menerima rasuah.

Ahli perniagaan berusia 54 tahun itu sebelum ini pernah dituduh di mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara atas kesalahan rasuah.

Semalam akhbar ini melaporkan lelaki berkenaan yang beralamat di Kuantan, Pahang ditahan pukul 3 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM di sini. – UTUSAN


Hit : 1341