Berita Terkini

Ikrar Bebas Rasuah Bukti Komitmen NAFAS Wakili Warga Peladang

PETALING JAYA, 26 Januari - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah mengadakan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang disertai 257 warga kerja yang terdiri daripada barisan Ahli Jemaah Pengarah, Pengurusan serta staf NAFAS dalam usaha meningkatkan integriti dan menzahirkan komitmen warga Peladang bebas gejala rasuah.

Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat NAFAS di sini diketuai Dato’ Zamri bin Yaakob, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS yang disaksikan Datuk Razim bin Mohd Noor, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Hadir sama, Dato’ Azulita binti Salim, Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang.

Selaras dengan kebersamaan NAFAS dengan SPRM dalam membanteras rasuah di segenap lapisan organisasi, Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Dato’ Zamri bin Yaakob menekankan IBR ini merupakan tanda komitmen atas kapasiti individu dalam memperkasakan integriti, nilai insan yang tinggi dan unggul demi menjadikan NAFAS sebuah organisasi yang telus dan cemerlang.

“Sebagai agensi yang bernaung di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, NAFAS memikul tanggungjawab dalam memperbaiki sosio-ekonomi para peladang dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan serta memajukan industri pertanian negara. Justeru, penekanan ikrar yang dibuat secara sukarela ini penting supaya setiap individu akan melaksanakan tugas dengan lebih bertanggungjawab,” katanya.

Satu taklimat pengenalan berkaitan kesalahan seksyen 17A ASPRM 2009 yang menekankan isu liabiliti korporat dan kepentingan penyediaan Polisi Anti Rasuah Syarikat berdasarkan Garis Panduan Tatacara Mencukupi juga telah dikongsikan oleh PKPj Awang Samsul Baharam bin Bungso kepada ahli Lembaga Pengarah Syarikat Subsidiari di bawah NAFAS.

#RasuahDihinaMaruahDibina


Hit : 1923