Berita Menarik

Ahli perniagaan didakwa buat tuntutan palsu RM1.12 juta

MELAKA: Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya membabit nilai RM1.12 juta.

Tertuduh, Mohd. Eszahar Mansor, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh memberikan kepada dua ejen Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso Melaka pada waktu dan masa yang berbeza dengan niat untuk memperdayakan prinsipalnya iaitu Perkeso Negeri Melaka dengan mengunci masuk 103 pekerja Syarikat Eszahar Maju Enterprise ke dalam Sistem Penjana Kerjaya 1.0 dan 2.0 yang mana prinsipalnya mempunyai kepentingan.

Tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut mempunyai matan dokumen palsu iaitu pekerja terbabit bukanlah kakitangan syarikat berkenaan untuk mengelirukan pihak prinsipal.

Kesalahan itu dilakukan di Unit Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Perkeso Melaka dalam daerah Melaka Tengah antara 6 Oktober 2020 hingga 21 April 2021.

Tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Seremban, Negeri Sembilan setiap bulan.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork merayu jaminan rendah dikenakan susulan pendapatan bulanan anak guamya hanya RM5,000 dan perlu menanggung ibu bapa, isteri yang masih belajar dan dua anak bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dan perlu melapor diri di Pejabat SPRM Seremban setiap bulan. – UTUSAN


Hit : 1265