Berita Terkini

MBJB Komited Perangi Rasuah Menerusi Ikrar Bebas Rasuah

JOHOR BAHRU, 19 Januari - Warga Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menzahirkan komitmen memerangi jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi inisiatif lafaz dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR), hari ini.

Sesi melafaz dan menandatangani IBR tersebut diketuai oleh Datuk Bandar MBJB, Dato' Mohd Noorazam bin Dato' Osman sambil disaksikan oleh Pengarah SPRM Johor, Dato' Azmi Bin Alias.

IBR yang disertai oleh warga MBJB  itu diadakan bersempena Majlis Ikrar Bebas Rasuah yang diadakan di Menara MBJB, di sini.

Usaha ini membuktikan tanggungjawab memerangi rasuah bukan tanggungjawab SPRM semata-mata dan ia perlu dipikul bersama-sama bagi memastikan jenayah tersebut dapat dihapuskan.

Sementara itu, ketika berucap dalam majlis tersebut, Dato' Azmi berkata, pujian harus diberikan kepada MBJB kerana mengambil inisiatif melaksanakan IBR melibatkan keseluruhan pegawainya.

Jelasnya, SPRM Johor sentiasa membuka ruang kepada MBJB untuk menjalankan perbincangan dalam mengenalpasti langkah sesuai dalam mengekang jenayah tersebut daripada terus berleluasa.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Johor, PKPj Sheikh Hamadi Bin Sheikh Abdul Hamid, Ketua Ahli Majlis MBJB, Dato' Mohamad Bin Dolmat, Setiausaha MBJB, Tuan Miswan Bin Yunus, Timbalan Setiausaha MBJB, Ir. Nazatul Shima Binti Mohamad, Pengarah Khidmat Pengurusan MBJB, Tuan Abdul Aziz Bin Ithnin serta Pengarah Integriti dan Pemodenan Pentadbiran MBJB, Tuan Mohamad Khairulanuar Bin Esa

#RasuahDihinaMaruahDibina


Hit : 1941