Berita Menarik

Bekas Ketua Balai Polis Tengkera didenda RM6,500, minta suapan ketika PKP

MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman denda RM6,500 kepada bekas Ketua Balai Polis Tengkera atas kesalahan mengambil wang RM6,000 sebagai balasan membantu kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh, Abdul Halim Alias, 59, mengaku bersalah sejurus selepas pertuduhan pilihan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan pilihan tersebut, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu pegawai polis berpangkat Sub Inspektor telah menerima wang tunai berjumlah RM6,000 daripada seorang individu dengan mengetahui ia mempunyai hubungan dengan kerja rasmi.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 5 hingga 6.15 petang di bilik pejabat di Balai Polis Tengkera dalam daerah Melaka tengah pada 11 Ogos 2020.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Peguam Azrul Zulkifli Stork merayu hukuman berbentuk denda diberikan dengan alasan anak guamnya telah berkhidmat selama 41 tahun dan kini berasa kecewa terhadap diri sendiri sehingga tidak mampu berdepan dengan ahli keluarga dan kenalan.

Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira jawatan dipegang tertuduh sebagai Ketua Balai yang sepatutnya menjadi teladan kepada anggota lain.

Mahkamah kemudian menjatuhi denda RM6,500 atau lima bulan penjara jika gagal bayar, selain pertuduhan lain turut diputuskan sebagai take into consideration (TIC).

Mengikut fakta kes, tertuduh pada 4 Ogos 2020 telah membuat rondaan cegah jenayah bersama dua anggotanya lalu mengesan sebuah premis hiburan melanggar SOP PKP dengan mengadakan persembahan muzik.

Tertuduh kemudian bertindak memaklumkan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) berhubung kesalahan itu dan notis amaran telah dikeluarkan.

Selepas anggota penguat kuasa MBMB beredar, tertuduh telah meminta RM6,000 sebagai balasan bantuannya. – UTUSAN


Hit : 2109