Kolumnis@SPRM

Elak campur tangan politik dan rasuah dalam kerajaan


Datuk Seri Akhbar Satar
Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) /
Pemegang Kerusi Profesor di Institut Jenayah dan Kriminologi HELP Universiti / 
Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM)

Saranan dan jaminan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai menteri bakal dilantik menghormati sistem perkhidmatan awam sebagai tonggak dalam pentadbiran kerajaan adalah amalan terbaik.

Pembahagian institusi negara kepada doktrin pengasingan kuasa adalah antara prinsip penting dalam sistem demokrasi mesti dihormati pimpinan negara.

Doktrin ini merealisasikan prinsip semak dan imbang dengan setiap cabang, iaitu pemerintah (eksekutif); perundangan (legislatif) dan kehakiman (judisiari) berkuasa ‘menyemak’ dan ‘menyeimbangkan’ kuasa serta pelaksanaan masing-masing diberikan Perlembagaan.

Campur tangan politik yang bukan bidangnya, akan pincang dan merosakkan sistem demokrasi di negara kita. Ini isu integriti dan patut dihormati serta dicontohi pimpinan negara.

Sememangnya perkhidmatan awam menjadi tonggak utama negara. Peranannya penting untuk pembangunan ekonomi dan kemakmuran negara - menyatu dan mengukuhkan masyarakat, menjamin keselamatan, melindungi mereka terdedah bahaya hingga meningkatkan kualiti hidup rakyat seharian.

Dalam hal ini, menteri dan penjawat awam saling memerlukan kerana masing-masing memiliki kepakaran khusus untuk digunakan dalam menguruskan pentadbiran kerajaan.

Campur tangan politik dikatakan antara sebab sistem pentadbiran awam merosot prestasi dan kredibilitinya. Kedua-dua institusi ini juga dilihat ada menghadapi krisis integriti terutama rasuah dan salah guna kuasa.

Ada yang terpaksa ikut arahan menteri atau ahli politik untuk menjaga masa depan dalam kerjaya tetapi ada juga sama-sama ‘kautim’ atau terbabit terutama dalam pemberian kontrak dan lesen.

Ada yang label komponen budaya Malaysia terdiri pemimpin politik yang rasuah dan perkhidmtan awam yang makan suap. Jika ia benar dan masih berterusan, maka tiada harapan untuk masa depan negara.

Saranan Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD), Tan Sri Abdul Halim Ali agar Kerajaan Perpaduan membawa kembali draf Akta Perkhidmatan Awam dirangka pada 2018 untuk dibentang dan diluluskan, bertujuan memberi perlindungan kepada institusi perkhidmatan awam adalah baik.

Akta ini dilihat mampu melindungi penjawat awam daripada kes kacau ganggu membabitkan ahli politik dan pihak berkaitan. Ia bukan sahaja bertindak memberi perlindungan kepada penjawat awam daripada mana-mana pihak, bahkan memperuntukkan tindakan boleh diambil ke atas kakitangan kerajaan tidak menjalankan tugas hakiki mereka.

Ia juga bagi mewujudkan perkhidmatan awam profesional dengan persempadanan fungsi, bidang kuasa dan tanggungjawab jelas antara pihak pentadbiran dengan perkhidmatan awam.

Ia amat penting untuk mengelakkan sebarang campur tangan politik dalam proses pelantikan perkhidmatan awam dan dalam pengurusan pentadbiran serta kewangan terutama dalam urusan pemberian kontrak.

Penemuan audit menunjukkan ketirisan berterusan dan kerugian besar ditanggung kerajaan disebabkan ketidakpatuhan kepada prosedur operasi kewangan standard akibat gangguan berkenaan terutama dalam pemberian kontrak.

Kata salah seorang pegawai kerajaan berintergriti, di negara ini, pesan motosikal, dapat basikal, bayar harga kereta. Ini antara masih berlaku dalam kontrak kerajaan apabila kegiatan rasuah berleluasa dalam kalangan pegawai kerajaan dan ahli politik bersekongkol dengan kontraktor termasuk kartel.

Ternyata mereka tidak serik pakai gelang besi dan baju oren serta seterusnya masuk dalam jeriji besi. Perbuatan keji ini akan terus berlaku dan sukar diramal bila akan berakhir berdasarkan perkembangan mutakhir. Sesuatu patut dilaksanakan untuk membendung kegiatan rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan kes rasuah membabitkan ketirisan dalam perolehan kerajaan dilihat semakin kritikal dan 50 peratus daripada kes terbabit membabitkan pegawai kanan agensi kerajaan. Statistik ini menyedihkan disebabkan kerugian wang rakyat begitu banyak.

Transparency International 2020 menganggarkan rasuah boleh bernilai antara 10 hingga 15 peratus daripada nilai sesuatu kontrak. Menurut Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP, hal ini akan merosotkan kepercayaan rakyat.

Data terbaru, Bank Dunia menganggarkan 20 hingga 30 daripada bajet untuk kontrak tiris. Ia sama dengan jangkaan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menganggarkan lebih 30 peratus nilai projek sektor awam di negara ini hilang akibat salah pengurusan dan rasuah.

Bayangkan berapa banyak jumlah simpanan dapat digunakan ataupun projek baharu dapat dilaksanakan dengan efektif menggunakan jumlah hilang itu.

Amalan rasuah, konflik kepentingan diri dan tidak telus dalam pengurusan antara faktor Malaysia dianggarkan mengalami kerugian antara RM40 bilion hingga RM60 bilion setiap tahun. RM1 bilion boleh digunakan sekurang-kurangnya membina 50 hingga 60 sekolah atau 6,000 kilometer jalan kampung.

Ada kajian menganggarkan Malaysia mengalami kerugian hampir RM3 trilion dalam tempoh 25 tahun akibat amalan rasuah serta ketirisan dalam pengurusan negara.

Sesetengah menteri ahli politik dan penjawat awam yang tiada integriti menggunakan faktor kuasa, peluang serta tekanan dan merasionalkan tindakan untuk melakukan jenayah rasuah. Mereka akan ikuti contoh tidak baik daripada pimpinan atasan dengan alasan semua orang melakukan rasuah.

Tiga kriteria penting untuk jadi pemimpin terutama menteri atau pegawai kerajaan ialah integriti, merit dan berani kerana benar. Dari segi integriti, jalankan tugas dengan betul dan tinggalkan yang tidak baik atau melanggar undang undang.

Kedua, hendaklah kita pastikan apabila hendak memilih ahli politik, kita tidak ada pilihan lain kecuali yang benar-benar mempunyai kelulusan, pakar dalam bidang tertentu dan bijaksana dalam menjalankan kewajipan pada rakyat dan negara, bukan kepentingan diri serta memperkayakan kroni.

Ketiga, paling mustahak, adalah berani kerana benar tetapi tidak ramai pemimpin kita ada kriteria ini. Di negara ini, apabila lawan pegawai atasan, sama ada ahli politik atau ketua jabatan, tentu masa depan gelap.

Disebabkan itu, tidak ramai berani kerana banyak kes apabila pegawai kerajaan lawan menteri atau timbalan menteri, mereka akan dimasukkan dalam senarai ‘pool atau diugut.

Hal itu diakui sendiri bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah apabila menyebut ada pegawai awam dahulu pernah diugut dipecat oleh ahli politik. Imej ini tidak adil bagi pegawai kerajaan atau ahli politik tinggi integriti.

Ini menyebabkan pegawai kerajaan takut untuk melawan arahan langgar undang-undang. Perbuatan ini hendaklah dihentikan dengan memperkenalkan Akta Perkhidmatan Awam serta pilih menteri benar-benar kerja untuk rakyat dan negara, bukan masuk politik untuk memperkayakan diri dan hidup mewah.

Sebagai Perdana Menteri, Anwar perlu membuat keputusan demi masa depan negara, bukan kepentingan politik. Kita perlukan negarawan memikirkan masa depan generasi akan datang, bukan ahli politik menanti bila pilihan raya atau memiliki akhlak yang rendah.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM. 


Hit : 2481