Berita Menarik

Warga emas mengaku bersalah palsu dokumen pindah milik tanah

Shah Alam: Seorang lelaki warga emas dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas membuat pengakuan bersalah terhadap empat pertuduhan menggunakan dokumen urusan tanah palsu mengandungi cap jari individu yang sudah meninggal dunia pada 2015 dan 2016

Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh, Ibrahim Mahidin, 61, dan hukuman berkenaan diarah untuk dijalankan secara serentak.

Mengikut semua kertas pertuduhan, Ibrahim didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen bertarikh 26 dan 27 November 2015 sebagai tulen iaitu dokumen 'Power Of Attorney', dokumen Surat Akuan Penama, dokumen Perjanjian Jual Beli dan dokumen Maklumat Pindah Milik serta Gadaian antara Che' Nah Arshad (yang sudah meninggal dunia) dan Md Kaim Tukimon yang diketahui tertuduh bahawa dokumen tersebut adalah palsu semasa diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor.

Bekas penulis surat dan urusan tanah itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-keduanya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Unit Pendaftaran Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor, Kompleks Kerajaan Daerah Kuala Selangor pada 2 Disember 2015 dan 24 November 2016.

Rozilah dalam penghakimannya menegaskan kesalahan itu adalah serius dengan memalsukan dokumen dan memindah milik tanah orang yang sudah meninggal dunia.

"Kamu bukan muda lagi. Harap hukuman ini dapat menginsafkan kamu dan sebagai orang muslim kita akan diadili dengan lebih tepat lagi nanti.

"Sementara hidup, bertaubatlah. Pengadilan di akhirat lebih berat," katanya.

Sebelum ini, pada 12 Mei lalu, Ibrahim mengaku tidak salah terhadap empat pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 467 Kanun yang sama.

Tertuduh bagaimanapun menukar pengakuan bersalah terhadap empat pertuduhan pilihan pada hari ini.

Pihak pendakwaan dikendali Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Aliff Shaharuzaman manakala tertuduh diwakili peguam, Idris Zaidel.

Sumber : Kosmo


Hit : 1538