Berita Menarik

Ketua jabatan tak mengaku salah terima rasuah RM5,000

JOHOR BAHRU: Seorang ketua jabatan di sebuah kolej matrikulasi dekat Tangkak, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga tuduhan menerima rasuah RM5,000, lima tahun lalu.

Tertuduh, Azman Abdul Rahman, 54, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail. Bagi pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang juga Ketua Jabatan Pengurusan Pelajar di Kolej Matrikulasi Johor (KMJ) didakwa menerima suapan secara tunai bernilai RM4,000 daripada pemilik sebuah pusat sukan sebagai balasan mendapatkan kerja penyelenggaran alatan sukan bagi persediaan dan kegunaan pelajar serta membekal pakaian Kontinjen KAKOM KMJ 2017 dalam Karnival Kokurikulum Matrikulasi (KAKOM) di pejabatnya pada Julai dan 12 September 2017.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa menerima suapan RM1,000 melalui transaksi ke akaun bank miliknya di sebuah bank di Pagoh, Muar, pada 22 Ogos 2017, daripada pengurus besar sebuah syarikat pembersihan yang mana tertuduh tahu ia ada kaitan dengan tugas rasminya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd Nor mencadangkan jaminan RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah. Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jumlah itu dikurangkan kerana mempunyai tanggungan lima anak dengan tiga daripadanya masih menuntut di universiti.

"Saya turut menanggung seorang isteri dan ibu bapa menghidap penyakit kencing manis serta darah tinggi dan masih mendapatkan rawatan susulan. "Saya kurang berkemampuan dan hanya dapat membayar jaminan RM3,000," katanya yang masih bertugas dengan pendapatan RM7,000 sebulan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi lantikan peguam dan serahan dokumen pada 22 November depan.

Sumber : Berita Harian

Hit : 1589