Berita Menarik

Pegawai khas ketua jabatan kerajaan direman

PUTRAJAYA: Seorang pegawai khas kepada ketua jabatan agensi kerajaan ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini.


Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek direman sehingga Rabu ini selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.


Sumber berkata, suspek lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberikan keterangan semalam.


Katanya, penahanan suspek susulan SPRM menahan seorang ketua jabatan sebuah agensi kerajaan bergelar Datuk.


Semalam, media melaporkan Datuk berusia lingkungan 40-an itu ditahan reman empat hari kerana dipercayai menerima rasuah dan menyalahguna kuasa berhubung pelantikan sebuah syarikat bagi tujuan perolehan empat kenderaan pada 2017.


Perolehan empat kenderaan dibuat pada 2017 itu berjumlah lebih RM290,000 bertujuan untuk kegunaan sebuah program yang dilaksanakan oleh agensi berkenaan.


Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sumber : Berita Harian

Hit : 2063