Berita Menarik

Datuk, penjawat awam direman kemuka dokumen palsu

DUA suspek direman tiga hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengemukan Surat Pengesahan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka.

Melaka: Pengurus syarikat pelancongan bergelar Datuk dan kakitangan awam direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengemukakan dokumen palsu Surat Pengesahan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka kepada Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka sekitar 2018.

Perintah reman terhadap suspek wanita dan lelaki berusia 30-an serta 40-an itu dikeluarkan Majistret Nabihah Mohd Noor.

Terdahulu, wanita itu ditahan kira-kira 8 malam semalam, manakala suspek lelaki 15 minit kemudian ketika mereka hadir di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka untuk memberi keterangan.

Difahamkan, siasatan awal SPRM mendapati wanita itu mengemukakan dokumen yang mempunyai butir matan palsu bagi tujuan mendaftarkan diri sebagai Ahli Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka kepada suspek kedua yang juga kakitangan kerajaan negeri.

Kedua-dua suspek terbabit tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, di sini, dengan menaiki kenderaan SPRM kira-kira 9 pagi.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad mengesahkan penahanan suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sumber : Harian Metro


Hit : 1443