Kolumnis@SPRM

Awas, Jamu Makan, Minum Pun Rasuah


Datuk Seri Akhbar Satar

Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan

Pemegang Kerusi Profesor di Institut Jenayah dan Kriminologi HELP Universiti 


SEMUA parti politik dan bakal calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disaran berhati-hati serta memahami kesalahan berkaitan aktiviti kempen yang berunsur rasuah dan salah guna kuasa seperti tertakluk pada Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954, Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kanun Keseksaan (KK) dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) 2009.

AKPR 1954 agak ketat, tetapi malangnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan termasuk tidak boleh menjalankan siasatan, denda terhadap calon atau sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang pilihan raya.

Bagaimanapun, undang-undang sedia ada masih membolehkan SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SKMM mengambil tindakan tegas terhadap amalan rasuah, salah guna kuasa dan kesalahan-kesalahan menjelang PRU bila ada laporan.

Ramai ahli politik yang hendak menjadi calon mungkin tidak perasan di bawah peruntukan AKPR 1954 mengandungi semua bentuk kesalahan rasuah dan salah guna kuasa yang jelas iaitu Seksyen-seksyen 8 (penjamuan), 9 (pengaruh tidak wajar), 10 (rasuah) semasa atau selepas tempoh pilihan raya dan hukumannya boleh dipenjara hinggalah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan hak mengundi.

KESALAHAN TAWAR MAKANAN, MINUMAN

Setiap calon boleh dianggap melakukan rasuah dengan menawarkan makanan, minuman kepada pengundi kerana tindakan tersebut menunjukkan penghargaan kepada pengundi, lebih-lebih lagi apabila calon itu mempunyai hasrat supaya mengundi dirinya.

Petikan Seksyen 8 adalah seperti berikut: “…dan tiap-tiap pemilih atau pengundi yang secara rasuah menerima atau mengambil apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain itu untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”

Kata kuncinya adalah ‘secara rasuah’, mempunyai niat dengan memberi makanan atau minuman yang ditawarkan tersebut. Sudah tentu modus amalan sebegini kerap berlaku dalam politik Malaysia.

KESALAHAN PENGARUH TIDAK WAJAR

Seksyen ini merujuk kepada ‘pengaruh yang tidak wajar’ yang boleh menjadi kesalahan jika seseorang menggunakan kekerasan atau keganasan atau menghalang sehingga memaksa seseorang mengundi dengan cara tertentu, atau tidak mengundi langsung. Kesalahan Seksyen 9 ini sebaik-baiknya diambil tindakan oleh PDRM.

KESALAHAN RASUAH

Calon atau sesiapa sahaja dilarang melakukan rasuah dengan menawarkan ‘pembelian undi’ sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti memberi atau menawarkan wang, hadiah, pekerjaan, atau pinjaman ketika proses pilihan raya (Seksyen 10).

Politik wang tidak ada toleransi, justeru tidak harus berlaku pada mana-mana parti politik. Untuk mengatasi masalah rumit ini, kerajaan perlu memperkenalkan Akta Pembiayaan Dana Politik.

Akta ini dapat dijadikan panduan untuk membezakan antara dana politik dengan sumbangan kepada parti atau ahli politik yang boleh dikategorikan sebagai rasuah.

HAD PERBELANJAAN

Satu lagi perkara perlu diambil maklum oleh semua parti politik adalah mengetahui had perbelanjaan semasa pilihan raya.

Mengikut Seksyen 19 akta sama, had maksimum perbelanjaan masa pilihan raya adalah RM150,000 bagi setiap kerusi negeri dan RM200,000 bagi kerusi Parlimen. Had ini sangat kecil jika dilihat pada perbelanjaan kempen PRU atau pilihan raya kecil (PRK).

LAPORAN PERBELANJAAN CALON

Laporan kepada SPR ini dalam tempoh sebulan selepas pilihan raya diwartakan tidak dilaksanakan oleh mana-mana parti politik.

PINDA UNDANG-UNDANG

AKPR 1954 perlu dipinda untuk memastikan SPR bukan lagi sebuah organisasi yang tidak bertaring tetapi lebih relevan mengikut peredaran masa. Antaranya:

- Memberi kuasa ‘penguatkuasaan’ kepada SPR untuk mengambil tindakan kepada calon, ejen atau parti politik yang melanggar AKPR 1954 atau berkaitan;

- Had perbelanjaan pilihan raya perlu dikaji semula untuk mengelakkan kesalahan dari segi perbelanjaan proses pilihan raya dilakukan;

- Diberi kuasa untuk mengaudit bagi memastikan jumlah dibenarkan untuk berbelanja memang benar-benar digunakan dalam kempen pilihan raya.

- Kuat kuasa laporan perbelanjaan perlu dikemukakan oleh calon kepada SPR dalam tempoh sebulan selepas pilihan raya diwartakan.

- Parti politik hendaklah mengamalkan proses berintegriti dan memberi perhatian khusus kepada aktiviti dianggap sebagai ‘perbelanjaan undi’ yang berlaku sebelum, semasa atau selepas proses pilihan raya.

HUKUMAN AKPR 1954

Di dalam keempat-empat kesalahan di atas (Seksyen-seksyen 8, 9 & 10), boleh dipenjara maksimum dua tahun, denda hingga RM5,000, dibatalkan kelayakan sebagai wakil rakyat serta kehilangan hak mengundi selama lima tahun.

Mana-mana kesalahan rasuah boleh juga didakwa di bawah Akta SPRM 2009 yang mana denda lebih tinggi dan tempoh pemenjaraan lebih panjang.

HUKUMAN AKTA SPRM 2009

Akta ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan:

Gagal melapor pemberian, janji atau tawaran

Di bawah Seksyen 25 (1) dan (2) akan dikena denda tidak lebih RM100,000 dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali

Gagal melapor permintaan atau memperolehi

Di bawah Seksyen 25 (3) dan (4) akan didenda tidak lebih RM10,000 dan penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut teori demokrasi, salah satu mekanisme rakyat boleh membendung tingkah laku elit rasuah ialah pilihan raya.

Selepas pilihan raya ini, parti yang menang diharapkan dapat membentuk sebuah kerajaan berintegriti, stabil dan terus bersama-sama rakyat memerangi rasuah yang masih berleluasa demi masa depan negara dan generasi akan datang. Rasuah adalah ibu segala kegiatan jenayah dan kejahatan.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 4258