SPRM reman bekas setiausaha, bendahari UMNO cawangan Pulau Pinang
GEORGE TOWN – Bekas setiausaha dan bendahari satu cawangan UMNO di Pulau Pinang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa dengan mengeluarkan wang milik parti itu berjumlah lebih RM600,000 untuk kegunaan peribadi.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 59 dan 73 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah George Town, Rosnee Mohd Radzuan bermula hari ini hingga 19 September depan.
Ia bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dilakukan terhadap kedua-dua lelaki tersebut.
Kedua-dua suspek diwakili peguam, Norhisham Shaidi.
Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di pekarangan Mahkamah George Town, di sini, pada jam 10.15 pagi dengan memakai baju lokap SPRM.
MalaysiaGazette difahamkan, dua lelaki itu ditahan SPRM Pulau Pinang semalam selepas menerima aduan mengenai penyalahgunaan kuasa ketika mereka memegang jawatan tersebut.
Lelaki berusia 59 tahun itu yang juga setiausaha UMNO cawangan disyaki menyalahgunakan kuasa dan bersubahat dengan membuat pengeluaran wang yang mencurigakan dari akaun bank parti itu dengan beberapa transaksi.
Dia juga disyaki membuat pemindahan wang dari akaun bank sama kepada sebuah yayasan pendidikan dan kebajikan negeri ini untuk kepentingan peribadi yang mana beliau merupakan pengarah yayasan tersebut.
Difahamkan, secara keseluruhan siasatan SPRM mendapati jumlah pengeluaran itu bernilai lebih RM600,000. – MalaysiaGazette