Berita Menarik

Bekas Pengerusi PIBG antara tiga ditahan SPRM kemuka tuntutan palsu pembinaan blok sekolah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga individu termasuk bekas Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di Selangor bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM300,000, berhubung pembinaan blok baharu di sekolah, enam tahun lalu.

Perintah reman selama tiga hari bermula Sabtu sehingga Isnin depan itu dikeluarkan Majistret Nor Azean Mohd Sohaini di Mahkamah Shah Alam, Selangor.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek termasuk seorang wanita yang berusia 34 hingga 56 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor pada Jumaat ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, selain bekas pengerusi PIBG, dua lagi suspek adalah kontraktor dan pemilik syarikat pembekal bahan pembinaan.

"Mereka dipercayai mengemukakan tuntutan yang mengandungi butiran palsu bernilai kira-kira RM300,000 kepada PIBG sekolah salah seorang suspek bagi kerja-kerja pembinaan blok baharu di sekolah berkenaan sedangkan kerja-kerja tersebut tidak disempurnakan," katanya di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sumber : Astro Awani

Hit : 1864