Berita Menarik

Arkitek ditahan SPRM, tuntutan palsu RM3 juta

Kuala Lumpur: Seorang arkitek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki mengemuka tuntutan palsu dianggarkan berjumlah RM3 juta.

Sumber berkata, tuntutan itu membabitkan sebuah projek pembangunan di Pantai Timur.

Menurutnya suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan susulan penahanan empat individu termasuk seorang pengurus syarikat hartanah berhubung kes sama pada 16 Jun lalu.

"Lelaki itu ditahan kira-kira jam 6 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan. Jelasnya, arkitek itu disyaki terbabit dalam tindakan mengemukakan tuntutan palsu bagi projek yang keseluruhannya bernilai lebih RM300 juta.

"Lebih malang apabila tuntutan palsu dibuat sedangkan kerja-kerja sewajarnya tidak dilaksanakan," katanya.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 23 Ogos 2022 selepas Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan permohonan reman oleh pihak SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sumber : Harian Metro

Hit : 2236