Berita Menarik

Profesor dan adik dipenjara 3 tahun salah guna kedudukan

BUTTERWORTH, 19 Ogos : Pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) dan adik lelakinya masing-masing dipenjara tiga tahun dan didenda RM807,475 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan kes salah guna kedudukan, sepuluh tahun lalu.

Hakim Zulhazmi Abdullah menjatuhi hukuman tersebut terhadap Profesor Badaruddin Mohamed, 56, dan Mustafa Kamal, 50, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir pembelaan.

Zulhazmi turut memerintahkan mereka dipenjara antara sebulan hingga enam bulan mengikut pertuduhan jika gagal membayar denda.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri dan pembelaan diwakili peguam, Shamsul Sulaiman masing-masing mengemukakan hujah dan rayuan.

Mahkamah bagaimanapun, membenarkan hukuman itu ditangguhkan dan tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000 selepas Shamsul mengemukakan rayaun untuk pihaknya menfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi.

Zulhazmi turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport selain melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan sehingga kes rayuan selesai.

Pada Oktober 2018, Badaruddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas sembilan pertuduhan salah guna kuasa dan kedudukannya mendapatkan suapan dengan meluluskan syarikat milik adik kandungnya, MK Urusniaga (M) Sdn. Bhd. membekalkan pelbagai barangan bagi jabatan tempat dia bekerja.

Ia membabitkan pembelian barangan seperti kamera dan barangan pejabat yang keseluruhannya bernilai RM160,163.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Komunikasi Strategik dan Sustainable Tourism Research Cluster, USM di George Town dekat sini antara September 2011 hingga November 2012.

Badaruddin didakwa melakukan kesalahan itu mengiku Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Mustafa Kamal pula didakwa atas pertuduhan bersubahat di tempat dan lokasi sama mengikut Seksyen 28(1)(c) akta sama. – TVS


Hit : 2396