Berita Menarik

8 suspek ditahan terlibat rasuah jutaan ringgit urus kuota pekerja asing

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan suspek termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat teknologi maklumat dalam siasatan rasuah melibatkan hampir setengah bilion ringgit bagi menguruskan kuota pekerja asing.

Kesemua lapan suspek itu ditahan di ibu pejabat SPRM semalam dipercayai menerima rasuah antara RM800 hingga RM1,500 bagi membantu majikan dan ejen dalam proses mendapatkan pekerja asing.

Enam daripada mereka ditahan reman selama tiga hari manakala dua lagi suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka diambil.

Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin menetapkan perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 5 Ogos terhadap keenam-enam suspek di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber SPRM, syarikat teknologi maklumat itu dipercayai terlibat dalam lebih 345,000 permohonan, yang membabitkan rasuah ratusan ribu ringgit bagi tempoh Mei 2022 hingga 29 Julai 2022.

Menurutnya, CEO syarikat berusia 50-an bersama seorang pegawai kanannya berusia 40-an dan enam lagi suspek ditahan malam semalam ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.

Katanya, dua suspek yang direman hari ini bekerja di syarikat agensi pekerjaan sementara dua lagi adalah pemilik syarikat agensi pekerjaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009.

Sumber : Malaysia Now

Hit : 6149