Berita Menarik

6 lagi tuduhan terhadap bekas COO Seda terima suapan RM294,000

SHAH ALAM – Bekas Ketua Pegawai Operasi (COO) Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Seda) Malaysia, Ali Askar Sher Mohamed berdepan dengan enam pertuduhan menerima suapan berjumlah RM294,000.

Berdasarkan kertas pertuduhan, beliau didakwa menerima wang tunai antara 15 September 2015 sehingga 9 Mac 2016 daripada Pengarah Green & Smart Sdn Bhd, Navindran A/L Balakrishnan yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya ketika itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun Ali Askar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Rasyihah Ghazali.

Rasyihah kemudian menetapkan tertuduh dibebaskan tanpa jaminan selepas mempertimbangkan permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Atiqah Mohamad Alias.

Terdahulu, Nurul memohon agar mahkamah tidak menetapkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh hari ini, sebaliknya menggunakan ikat jaminan yang telah dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

Semalam Ali Askar mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima suapan sebanyak RM70,000 daripada individu yang sama pada 11 Disember 2015.

Mahkamah kemudian memerintahnya membayar ikat jamin sebanyak RM40,000.

Sementara itu, turut membenarkan keenam-enam pertuduhan dibicarakan bersama satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur.

Sumber : MalaysiaGazette


Hit : 5715