Kolumnis@SPRM

Rasuah Merompak Ekonomi Negara

Oleh
Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat UPM

Rasuah sewajarnya digelar sebagai musuh nombor satu negara. Hal ini demikian kerana rasuah dan anggota masyarakat kelihatan semakin sukar untuk dipisahkan sehingga amalan tidak bermoral ini bukan saja berleluasa malah mula menembusi hampir semua sektor serta dalam setiap aspek kehidupan harian kita.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memerangi virus rasuah, namun boleh dikatakan wabak ini sudah menjadi endemik, iaitu seolah-olah rakyat sudah tiada pilihan selain terpaksa hidup dengannya.

Buktinya, hampir setiap hari ada saja kes rasuah yang dilakukan oleh anggota masyarakat membabitkan pelbagai salah laku seperti sogokan, salah guna kuasa dan penyelewengan yang dilaporkan dalam media. Nilai yang terlibat juga cukup besar dan memeranjatkan, bahkan tidak keterlaluan untuk dikatakan penjenayah ini sedang merompak dan melumpuhkan ekonomi rakyat dan negara.

Ironinya, ramai juga yang telah ditangkap oleh pihak berkuasa dan dibawa ke muka pengadilan sekali gus dijatuhkan pelbagai hukuman mengikut tahap kesalahan.

Namun demikian, bagai mencurah air ke daun keladi, semakin ramai ditangkap, semakin ramai pula kelihatan terus bergelumang dalam wabak rasuah ini. Tangkapan dan hukuman yang dikenakan kelihatan masih gagal untuk menginsafkan anggota masyarakat.

Masakan tidak, pembabitan dalam budaya tidak sihat ini terus popular kerana menyediakan pelbagai keuntungan dalam tempoh masa yang pendek kepada pihak tamak dan mementingkan diri.

Hakikatnya, sektor ekonomi adalah antara sektor yang menerima kesan langsung akibat amalan rasuah di negara kita. Pelbagai ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa yang berpunca dari ketamakan harta dan kekayaan menyebabkan ekonomi kita semakin tenat dirompak oleh individu yang ada kepentingan.

Pada dasarnya, gejala rasuah yang berterusan berisiko melandaikan lengkuk pertumbuhan ekonomi dengan lebih cepat. Antara sektor yang menyumbang kepada amalan rasuah yang tinggi sehingga boleh menjejaskan ekonomi negara ialah sektor seperti perolehan, penguatkuasaan dan pelesenan.

Secara prinsipnya, jenayah rasuah dan masalah ketirisan bukan sahaja akan menjejaskan pendapatan kerajaan tetapi turut memberi kesan besar kepada prestasi ekonomi negara secara keseluruhannya. Transparency International Malaysia pernah melaporkan negara kerugian lebih kurang RM40 bilion hingga RM50 bilion akibat aktiviti rasuah di mana impak rasuah kepada pertumbuhan ekonomi ternyata suatu realiti yang pahit untuk ditelan.

Secara umumnya ekonomi negara akan menerima beberapa impak ketara akibat rasuah yang berleluasa antaranya, rasuah menyebabkan peningkatan kadar inflasi yang tentunya akan meningkatkan kos sara hidup rakyat sekali gus mengurangkan kualiti hidup mereka dan jika tidak ditangani dengan baik akan turut membawa kepada ketidakstabilan politik negara.

Dalam hal ini, rakyat sebagai pengguna perlu sedar amalan rasuah telah menimbulkan banyak masalah dalam kitaran ekonomi harian kita. Ironinya, kos amalan rasuah dalam sesuatu sektor ekonomi itu diagihkan pada setiap rantaian bekalan kepada pengguna dan secara langsung meningkatkan harga barang serta perkhidmatan di pasaran melalui pelbagai ketirisan transaksi.

Misalnya amalan rasuah dalam projek pembinaan perumahan yang berlaku di setiap peringkat akan menyebabkan setiap unit perumahan akan dijual oleh pemaju pada harga yang lebih tinggi. Situasi ini berlaku bagi menampung ketirisan yang berlaku sepanjang rantaian pembekalan bahan semasa proses pembinaan tersebut. Ini adalah satu bukti nyata bagaimana ekonomi rakyat dirompak oleh golongan yang mengamalkan rasuah.

Amalan rasuah juga boleh menghakis dan mengurangkan pelaburan domestik dan juga kemasukan jumlah Pelaburan Langsung Asing (FDI). Perkara ini boleh berlaku berpunca daripada peningkatan kos pentadbiran dan urus niaga.

Rasuah yang tidak terkawal dalam sektor perniagaan boleh menyebabkan para pelabur berfikir dua kali sebelum melabur kerana mereka tidak mahu menanggung kos yang tidak wajar dan membebankan. Jika pelabur asing tidak masuk bagaimana kita mampu membangunkan ekonomi rakyat dan negara?

Dalam konteks ini kita juga perlu sedar betapa amalan tadbir urus yang baik merupakan penentu awal yang penting sebelum pelabur memutuskan untuk melabur di sesebuah negara. Analogi yang mudah ialah, mana mungkin pelabur sanggup mengambil risiko untuk melabur di sebuah negara yang sarat dengan amalan rasuah.

Sebaliknya, jika kita mampu membuktikan amalan rasuah di negara kita cukup terkawal termasuk dari segi penguatkuasaan undang-undang yang ketat dan proses pencegahan yang berkesan, maka persekitaran tersebut akan mendorong lebih ramai lagi pelabur terutamanya pelabur asing berani melabur di negara kita. Jika ini berlaku sudah semestinya ekonomi negara akan semakin rancak sekali gus dapat meningkatkan kesejahteraan kehidupan rakyat.

Tuntasnya, kita perlu menidakkan tanggapan serong para pelabur bahawa “perniagaan dan rasuah berjalan seiring”. Hal ini sangat mustahak kerana apabila wujud tanggapan negatif seperti ini, maka ia akan menjadi petanda kepada ciri ekonomi serta amalan perniagaan dalam sebuah negara yang sedang membangun dengan urus tadbir yang dilihat tidak sejajar dengan amalan baik.

Dalam pada itu, kajian oleh Transparency International Malaysia juga menunjukkan aktiviti rasuah telah menelan belanja sebanyak empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK).

Ini menyebabkan rasuah juga membawa kepada pembaziran dana awam yang serius sekali gus menyukarkan pihak kerajaan mengoptimumkan segala sumber yang ada secara cekap untuk manfaat rakyat. Akhirnya, rakyat dan negara akan rugi kerana ini akan membawa kepada situasi pengagihan peruntukan menjadi tidak seimbang antara keperluan mendesak dan perancangan masa depan untuk kemakmuran bersama.

Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga pernah menggariskan 16 bentuk penyelewengan yang kerap berlaku dalam sistem perolehan membabitkan pegawai diberi amanah berkaitan urusan perolehan dan perbekalan.

Antara lain ianya termasuklah aktiviti menerima komisyen antara lima hingga 10 peratus berdasarkan harga projek daripada syarikat berjaya, membocorkan maklumat termasuk nilai kontrak kepada kontraktor tertentu, menciplak kertas cadangan dikemukakan pihak tertentu dan kemudian memberi kepada syarikat lain.

Manakala bentuk kesalahan yang kerap dilakukan oleh syarikat pembekal pula termasuk menyogok pegawai untuk memenangi projek atau kontrak ditawarkan dan peranan orang tengah mengumpulkan profil syarikat lain untuk memasuki sebut harga.

Aktviti rompakan ekonomi negara seperti ini melalui perancangan yang cukup licik dan pakatan yang tidak bermoral antara pegawai yang diamanahkan dengan syarikat yang berkepentingan bukan saja merugikan negara malah merompak hak ekonomi syarikat yang jujur dan telus.

Di samping itu amalan rasuah yang berlaku dalam jenayah penyeludupan barangan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memperdaya kerajaan dari segi bayaran cukai dan hasil negara juga cukup berleluasa di negara kita. Aktiviti seumpama ini tidak lain dan tidak bukan ianya secara langsung merompak ekonomi negara secara terang-terangan.

Misalnya bayangkan, akibat rasuah ramai individu mahupun syarikat dapat mengelat atau lari dari tanggungjawab untuk membayar cukai yang secara lazimnya menjadi punca kewangan kerajaan serta ada pula peniaga yang dapat mengeksport dan mengimport pelbagai barangan dengan menipu harga dan melakukan apa yang disebutkan ''under declaration'', maka ia merupakan aktiviti rompakan hasil atau ekonomi negara secara terang-terangan.

Pada masa yang sama, soal ketirisan hasil pendapatan negara akibat kegiatan penyeludupan bukan lagi suatu perkara yang baharu di negara kita. Misalnya, kebanjiran rokok tidak sah di pasaran tempatan menyebabkan negara kerugian cukai antara RM5 bilion hingga RM6 bilion setahun.

Semua ini berlaku akibat amalan rasuah membabitkan kartel dan anggota penguatkuasa yang tidak amanah dan jujur dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

Ternyata amalan rasuah memberi kesan yang amat negatif dan mendalam kepada pertumbuhan ekonomi, sekali gus menjejaskan pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat.

Jujurnya, rasuah merupakan salah satu faktor utama yang menyekat pembangunan ekonomi negara justeru ianya perlu ditangani secara serius demi memberi manfaat bersama buat semua rakyat Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana kajian pada 1999 menerusi Jurnal Perbandingan Ekonomi oleh Mo Pak Hung dari Universiti Baptist Hong Kong memperincikan bahawa satu peratus peningkatan dalam rasuah boleh mengurangkan kadar perkembangan sebanyak 0.72 peratus.

Lantaran itu, kita tidak boleh berhenti atau berputus asa dalam melaksanakan pelbagai usaha dan inisiatif bagi membanteras rasuah di negara kita merangkumi semua sektor agar ekonomi negara tidak dirompak begitu saja oleh tangan-tangan ghaib sehingga menjejaskan pertumbuhan ekonomi, pembangunan negara serta kemakmuran rakyat.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 24184