Berita Menarik

Rokok seludup: ASP, Sarjan direman minta rasuah RM8,000

SUNGAI PETANI: Seorang polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) dan seorang Sarjan direman enam hari bagi membantu siasatan meminta dan menerima rasuah RM8,000 sebagai habuan tidak mengambil tindakan terhadap seorang peniaga yang memiliki rokok seludup.

Kedua-duanya ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sungai Petani pada pukul 8.30 malam tadi, semasa diminta hadir memberi keterangan selepas peniaga terbabit membuat laporan berkaitan kejadian itu.

Pegawai polis berumur 46 tahun dan Sarjan berumur 39 tahun itu bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Perintah reman sehingga Khamis depan terhadap pegawai dan anggota polis itu dikeluarkan oleh Majistret B. Sri Pracha Nanthini di Mahkamah Sungai Petani, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap mengesahkan penahanan tersebut untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, pegawai dan anggota polis itu telah melakukan pemeriksaan ke atas premis perniagaan milik peniaga terbabit di Seberang Perai Selatan semalam.

“Hasil pemeriksaan didapati peniaga terbabit menyimpan sejumlah rokok seludup di premis perniagaannya dan peniaga itu diminta menyerahkan wang RM8,000 bagi mengelak dikenakan tindakan.

“Bagaimanapun selepas menyerahkan wang diminta, peniaga terbabit membuat laporan kepada Pegawai SPRM menyebabkan pegawai dan anggota polis itu dipanggil untuk dirakam keterangan berkaitan kes terbabit sebelum ditahan,” katanya.

Sumber : UTUSAN


Hit : 1669