Berita Menarik

YDP antara dua direman bantu siasatan salah guna kuasa

DUA lelaki termasuk seorang Yang Dipertua (YDP) sebuah pertubuhan kebajikan di Terengganu direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan penyalahgunaan kuasa pelantikan pengarah urusan sebuah syarikat usaha sama, empat tahun lepas.

Perintah reman sehingga Isnin (4 Julai) di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah itu dikeluarkan oleh Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu terhadap kedua-dua suspek berusia 80-an dan 50-an itu.

Ia bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dijalankan.

Menurut sumber SPRM pada sekitar 2018, YDP pertubuhan kebajikan yang berusia 80-an tersebut disyaki telah menggunakan jawatannya untuk melantik sekutunya sebagai pengarah urusan sebuah syarikat usaha sama dengan beliau mempunyai kepentingan ke atas syarikat itu.

Kedua-dua suspek ditahan semalam di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu di Kuala Terengganu.


Sumber : BERNAMA


Hit : 1829