Berita Menarik

Bekal barangan terlarang di lokap, empat anggota polis direman

AYER KEROH: Empat anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan membekalkan bahan terlarang kepada tahanan lokap, tiga tahun lalu.

Penahanan reman sehingga Selasa depan terhadap empat suspek berusia 35 hingga 40 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Mazana Sinin.

Siasatan terhadap empat individu yang bertugas di salah sebuah balai polis di daerah Alor Gajah itu bagi membolehkan siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 16(a)(B)  akta SPRM 2009.

Terdahulu, kesemua suspek dibawa ke pekarangan kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada jam 9.30 pagi dengan memakai pakaian lokap SPRM bewarna jingga dengan menaiki dua kenderaan berasingan.

Difahamkan, empat anggota itu terlibat dalam kegiatan membawa masuk bekalan terlarang termasuk dadah, tembakau dan makanan kepada tahanan di lokap tempat mereka bertugas.

Tindakan menjadi orang tengah kepada seorang tokan yang berada di dalam tahanan itu dilakukan dengan upah antara RM600 hingga RM9,000 menerusi kira-kira 20 transaksi tunai dan pindahan dalam talian antara tempoh 2019 hingga 2020 lalu.

Kesemua mereka ditahan ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka di Alai, petang semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi Astro AWANI  mengesahkan penahanan suspek berkenaan dan katanya siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sumber : Astro Awani

Hit : 1765