Berita Menarik

Minta upah RM5,000 keluarkan kad pengenalan, anggota penguat kuasa ditahan SPRM

SANDAKAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sandakan menahan seorang anggota penguat kuasa bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima suapan bernilai kira-kira RM5,000 dalam urusan pengeluaran kad pengenalan warganegara Malaysia.

Menurut sumber, suspek berusia 42 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Sandakan kira-kira pukul 9.30 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan.

Katanya, suspek dipercayai telah meminta dan menerima suapan daripada seorang individu sebagai upah menguruskan pengeluaran kad pengenalan.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tambahnya, suspek bagaimanapun dilepaskan dengan jaminan SPRM dan dijangka dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan pada hujung bulan ini.

Sumber : Astro Awani

Hit : 1940