Berita Menarik

Rasuah: Koperal polis mengaku tidak bersalah

SHAH ALAM: Seorang bekas penolong pegawai penyiasat polis mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM16,000 pada Februari lalu di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Azrol Khalil, 37, anggota berpangkat koperal membuat pengakuan demikian terhadap semua kesalahannya yang didakwa dilakukan di Taman Prima Sri Gombak, Batu Caves.

Menerusi pertuduhan utama, tertuduh ketika bertugas sebagai detektif di Balai Polis Gombak didakwa secara rasuah menerima suapan sedemikian pada 7 Februari lalu dekat sebuah restoran di sana sebagai dorongan untuk menutup kes jenayah komersial terhadap seorang individu.

Individu tersebut pada waktu itu sedang disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, justeru Azrol didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sabit kesalahan, Azrol yang kini bertugas di bahagian pentadbiran di IPD Gombak itu boleh dipenjara selama 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh juga didakwa sebagai penjawat awam menerima suatu barang berharga atau wang tunai bernilai demikian pada tarikh dan lokasi sama tanpa sebarang balasan dan dituduh di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Noryusriza Zulkifli menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke pejabat SPRM dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam bela, P.G Cyril yang mewakili tertuduh memohon supaya wang jaminan dikurangkan kepada RM5,000 dengan alasan anak guamnya bergantung kepada pendapatan isteri untuk menyara keluarga.

“Kini tertuduh menerima gaji sebanyak RM1,700 dan menanggung isteri dan tiga anak tiri yang kini tinggal di kuarters kakitangan awam di Hospital Serdang dan saya ada mengemukakan penyata pendapatan isteri kepada mahkamah,” katanya.

Dalam masa sama, Cyril turut memaklumkan tertuduh tidak mempunyai pasport antarabangsa.

Hakim Rozilah Salleh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan melaporkan diri ke Pejabat SPRM Selangor pada awal setiap bulan sebelum menetapkan sebutan semula kes pada 28 Jun ini. – UTUSAN


Hit : 1892