Berita Menarik

2 pembantu kesihatan ditahan terima suapan pengurusan jenazah

Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pembantu kesihatan kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah kira-kira RM15,000 setiap seorang bagi urusan berkaitan kerja pengurusan jenazah.

Menurut sumber, dua suspek lelaki yang masing-masing berusia 42 dan 40 tahun itu ditahan sekitar 4.45 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di SPRM Selangor.

Katanya, kedua-dua suspek yang berkhidmat di sebuah hospital di negeri ini dipercayai meminta dan menerima wang suapan sebanyak RM300 bagi setiap pengurusan jenazah daripada individu tertentu.

Difahamkan ia sebagai balasan untuk pihak berkenaan terus mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah bagi tempoh 2018 hingga 2021.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, esok untuk mendapatkan perintah reman.

Sumber : Harian Metro

Hit : 1891