Kolumnis@SPRM

Elak Rasuah Jadi Endemik

Oleh
Noor Mohamad Shakil Hameed
Penulis ialah Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK),Universiti Putra Malaysia

NAMPAKNYA rasuah dan anggota masyarakat semakin sukar dipisahkan. Amalan tidak bermoral ini bukan saja berleluasa malah mula menembusi hampir semua sektor serta dalam setiap aspek kehidupan harian kita. 

Jujurnya walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk perangi rasuah, namun boleh dikatakan wabak ini sudah menjadi endemik, iaitu seolah-olah rakyat sudah tiada pilihan selain terpaksa hidup dengannya.

Buktinya, hampir setiap hari ada saja isu rasuah yang dilakukan oleh anggota masyarakat membabitkan pelbagai salah laku seperti sogokan, salah guna kuasa dan penyelewengan dilaporkan dalam media. Nilai yang terlibat juga cukup besar dan memeranjatkan. 

Ironinya, ramai juga sebenarnya yang telah ditangkap oleh pihak berkuasa dan dibawa ke muka pengadilan sekali gus dijatuhkan pelbagai hukuman mengikut tahap kesalahan. Dalam konteks ini kita wajar menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertungkus lumus menjalankan siasatan dan membawa pesalah ke muka pengadilan.

Tapi itulah bagai mencurah air ke daun keladi, semakin ramai ditangkap, semakin ramai pula kelihatan terus bergelumang dalam wabak rasuah ini. Tangkapan dan hukuman yang dikenakan masih gagal untuk menginsafkan anggota masyarakat. Masakan tidak, pembabitan dalam budaya tidak sihat ini terus popular kerana menyediakan pelbagai keuntungan dalam tempoh masa yang pendek kepada pihak berkepentingan.

Yang memberi rasuah menikmati keuntungan apabila pelbagai urusan mereka dipermudahkan melalui jalan singkat oleh individu yang menerima. Yang menerima pula sudah semestinya menikmati laba umpama durian runtuh dalam masa yang singkat untuk menikmati kehidupan yang mewah. Pakatan jahat kedua-dua pihak ini akhirnya merosakkan keseluruhan sistem tadbir urus yang ada.

Ingatkah kita lagi ketika wabak COVID-19 sedang menular melanda negara dengan mencatatkan kes jangkitan yang tinggi mencecah lebih 20,000 kes setiap hari pada tahun lalu.

Bagaimanapun, apabila kerajaan mula memberikan vaksinasi kepada rakyat Malaysia, timbul pula isu mengenai pemalsuan sijil vaksinasi apabila media mendedahkan ada pihak cuba menawarkan rasuah kepada doktor untuk memalsukan sijil vaksinasi. 

Isu pemalsuan sijil digital vaksinasi menjadi topik hangat pada ketika itu termasuk laporan media oleh Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow yang mendakwa, beberapa ahli FPMPAM ditawarkan RM1,000 oleh beberapa individu untuk memalsukan sijil digital vaksin. 

Isu ini timbul apabila kerajaan pada ketika itu mula memberikan pelbagai kelonggaran dan kemudahan kepada individu yang lengkap divaksin di mana mereka perlu mengemukakan sijil digital vaksin di semua premis yang terlibat. Misalnya, individu yang sudah lengkap vaksinasi dibenarkan untuk 'dine-in' atau makan di restoran dengan syarat menunjukkan sijil digital vaksin kepada petugas premis makanan.

Ini menyebabkan golongan antivaksin serta yang belum divaksin atau enggan divaksin mula berasa terdesak untuk menikmati kemudahan yang disediakan, justeru ada dalam kalangan mereka ambil jalan mudah sekali gus terbabit dalam usaha untuk menyogok doktor bagi mendapatkan sijil digital vaksin yang palsu.

Fenomena ini sekali gus membuktikan ada dalam kalangan kita yang sanggup melakukan apa saja termasuk menawarkan rasuah demi memenuhi agenda dan kepentingan peribadi masing-masing. Sesungguhnya ini adalah sindrom yang cukup tidak sihat dan bakal menghancurkan etika dan nilai moral yang menjadi amalan dan pegangan kita sebagai masyarakat timur.

Jelas sekali tahap nilai integriti rakyat kita semakin membimbangkan. Apakah ini ciri-ciri masyarakat yang hendak kita banggakan? Apakah ini norma Keluarga Malaysia yang kita idamkan? Sudah tentu kita tidak mahu wabak rasuah ini membinasakan rakyat dan negara. 

Dalam konteks ini kesedaran dan kerjasama anggota masyarakat merupakan aspek yang paling mustahak untuk diberi perhatian. Tanpa kedua-dua aspek ini, apa saja usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa untuk memerangi rasuah pasti tidak akan berjaya. 

Oleh itu tumpuan khusus perlu terus diberikan bagi menyedarkan anggota masyarakat tentang kesan negatif wabak rasuah kepada diri, keluarga, masyarakat dan juga negara. Hal ini penting kerana setiap individu perlu disedarkan betapa tindakan memberi atau menerima rasuah tidak hanya melibatkan dua pihak, iaitu yang memberi dan menerima sahaja. Sebaliknya kesannya akan dirasai oleh rakyat dan negara secara menyeluruh terutamanya bila ia melibatkan isu kepentingan awam.

Misalnya, tindakan merasuah doktor untuk membantu memalsukan sijil digital vaksin akan memberi kesan yang besar dalam usaha untuk kita menangani penularan wabak di negara kita. Malah pemalsuan ini boleh meletakkan diri individu terbabit, ahli keluarga dan anggota masyarakat sekeliling dalam keadaan bahaya dan terdedah kepada risiko jangkitan virus.

Oleh itu besarlah harapan kita agar anggota masyarakat berpegang teguh kepada nilai integriti yang tinggi dan sentiasa sedar tentang kesan buruk amalan rasuah. Didiklah diri untuk mematuhi peraturan, menolak rasuah  serta membantu pihak berkuasa membanteras gejala rasuah di negara kita. 

Ingat, selagi integriti tidak menjadi prinsip dan perisai hidup, sukar untuk kita memerangi rasuah. Ringkasnya, sampai bila kita nak rasuah untuk mendapatkan sesuatu? Hentikanlah budaya dan amalan terkutuk ini dan marilah kita membina Keluarga Malaysia yang hidup berpaksikan nilai-nilai moral yang tinggi dan terpuji.

Penafian : Tulisan ini adalah pandangan penulis dan tiada kaitan dengan pendirian rasmi SPRM.

Hit : 2105