Kolumnis@SPRM

SPRM dan Transformasi Pencegahan Rasuah


TPj Mohd Hafaz Nazar

Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM

 

Saban tahun, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) berterusan mendedahkan kerugian jutaan ringgit disebabkan salah urus kewangan, kehilangan dana awam dan pembaziran. 

 

Tahun ini, berdasarkan pendedahan LKAN kepada Parlimen pada Oktober 2021, Ketua Audit Negara  Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid mendedahkan kerugian sejumlah RM620.07 juta disebabkan pembayaran luar biasa dan pembaziran dana awam.

 

Ini termasuk ketiadaan pengesahan dalam perolehan, penalti yang tidak dituntut dan pembekalan yang telah dibayar tetapi lewat diterima dan menyebabkan peralatan  tidak dapat dipasang atau digunakan.  

 

Bertahun-tahun, masyarakat telah dipersembahkan dengan laporan-laporan salah urus dan pemborosan yang menyebabkan ketirisan tidak berkesudahan dalam perolehan awam. Sebagai contoh, LKAN Tahun 2012 telah mendedahkan bahawa sebuah agensi media kerajaan memperolehi 20 buah jam dinding dengan harga RM3,810 sebuah berbanding harga pasaran yang jauh lebih rendah iaitu hanya RM100 setiap satu.

 

Pada tahun yang sama, sejumlah 7,659 pasang kasut telah diperolehi oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dengan nilai perolehan berjumlah RM602,089. Malangnya  kesemua kasut terpaksa dilupuskan kerana saiz kasut yang tidak menepati keperluan.

 

Dua tahun sebelumnya, LKAN turut mendedahkan tentang Majlis Sukan Negara yang telah membuat perolehan ke atas sebanyak 23 ekor kuda baka khas untuk pertandingan dengan nilai perolehan RM5.66 juta.  

 

Namun, hanya 5 ekor kuda sahaja yang berjaya melepasi spesifikasi untuk menyertai pertandingan manakala baki 18 ekor yang lain gagal. Bayangkanlah pembaziran dana awam yang telah berlaku dengan kesan kos melepas (opportunity kos) yang besar berbanding jika wang tersebut disalurkan kepada projek-projek pembangunan  yang lebih memberi impak serta manfaat langsung kepada kesejahteraan rakyat! 

 

Penelitian terhadap LKAN tahunan mendapati bahawa isu-isu perolehan awam yang dilaporkan lazimya melibatkan perolehan pada harga yang tidak munasabah, pembekalan barangan dan perkhidmatan yang tidak mematuhi spesifikasi/ terma serta syarat pembekalan yang ditetapkan, perolehan secara pecah kecil yang sengaja dibuat bertujuan untuk menghindari tatacara kelulusan yang ditetapkan oleh peraturan kewangan serta `improper payment’ yang melibatkan pembayaran ke atas pembekalan yang belum dibuat.

 

Ada juga isu yang melibatkan elemen-elemen rasuah seperti penglibatan orang tengah dalam perolehan dan pengemukaan tuntutan bayaran yang mengandungi pernyataan palsu/ silap/ tidak lengkap yang bertujuan untuk mengelirukan pihak prinsipal iaitu Pegawai Pengawal (pembayaran) di peringkat Kementerian/ Jabatan/ Agensi yang terlibat.

 

 

SALAH LAKU DALAM BADAN AWAM

 

Pembaziran dan salah urus yang menyebabkan kerugian dana awam sentiasa  diberi  perhatian dan diambil tindakan sewajarnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SPRM turut menjalankan siasatan terhadap kes-kes seumpamanya selagi ia  melibatkan kesalahan-kesalahan yang tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694).

 

Namun begitu, terdapat kes-kes ketirisan dalam perolehan awam yang tidak bersifat jenayah (rasuah dan salah guna kuasa) kerana ia terjadi  disebabkan oleh salah urus atau kecuaian pegawai badan awam. .  

 

Bagi kes-kes yang disiasat oleh SPRM pula, pendakwaan kes kebiasannya melibatkan kesalahan memperdayakan prinsipal oleh ejen (kes tuntutan palsu) di bawah seksyen 18 Akta 694, selain daripada seksyen 23 Akta 694 bilamana ia membabitkan elemen salah guna jawatan/ kedudukan.

 

Ada juga hasil siasatan SPRM yang membawa kepada pengemukaan Laporan SPRM kepada Ketua-Ketua Perkhidmatan/ Jabatan yang mengesyorkan agar suatu tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [[P.U.(A) 395] atau tindakan surcaj di bawah Akta Prosedur Kewangan 1957 dipertimbangkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib ke atas pegawai badan awam yang bertanggungjawab.

 

Kekurangan peruntukan undang-undang yang menjenayahkan pembaziran, kecuaian dan salah urus oleh pegawai badan awam khususnya dalam konteks perolehan awam yang membawa kepada ketirisan dana dilihat mengekang potensi pendakwaan dalam skop kesalahan yang lebih luas ke atas pegawai badan awam yang bertanggungjawab.

 

Jurang ni mencetuskan keperluan terhadap suatu peruntukan kesalahan baharu berhubung salah laku dalam kalangan pegawai awam di dalam badan-badan awam [ Misconduct in Public Office (MIPO) ] yang mensasarkan pegawai-pegawai di badan awam sebagaimana tafsiran undang-undang di bawah Akta 694 .

 

PELAN ANTIRASUAH NASIONAL 2019 – 2023 (NACP) DAN SALAH LAKU PEGAWAI BADAN AWAM (MIPO)

 

Di bawah NACP, penguatkuasaan undang-undang merupakan salah satu daripada 6 bidang berisiko yang diberi tumpuan. Dalam strategi menginstitusikan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang, inisiatif 5.4.1 NACP telah menetapkan agar SPRM menerajui usaha untuk `memasukkan peruntukan baharu dalam undang-undang sedia ada berkaitan salah laku penjawat awam yang menyebabkan ketirisan dan kerugian dana Kerajaan secara sengaja.

 

Inisiatif 5.4 NACP ini senada dengan kehendak instrument Antarabangsa seperti Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Memerangi Rasuah [United Nations Convention Against Corruption (UNCAC)]. Artikel 17 dan Artikel 19 UNCAC masing-masing menyentuh tentang penjenayahan `embezzlement, misappropriation or other diversion of property by a public official’ dan `abuse of functions’ yang jelas menyokong hasrat pewujudan peruntukan baharu MIPO dalam menangani isu ketirisan dana dalam perolehan awam di Malaysia.

 

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah pada Julai 2018 telah bersetuju agar SPRM melaksanakan kajian menyeluruh berhubung pewujudan peruntukan kesalahan baharu ini dengan skop yang merangkumi pegawai badan awam sebagaimana takrifan di bawah Akta 694. Kajian komprehensif yang sedang dijalankan oleh SPRM ini mengambil pendekatan tanda aras undang-undang serta peraturan yang seumpamanya di negara-negara lain seperti United Kingdom, United States, Ausralia, Brunei Darusalam, Thailand, Hong Kong dan India.

 

Ini meliputi takrifan salah laku dan pegawai awam, skop penjenayahan salah laku, parameter pemakaian undang-undang tersebut ke atas pegawai perkhidmatan awam serta peruntukan berkaitan hukuman/ penalti oleh negara-negara tersebut.

 

Kajian oleh SPRM ini turut melibatkan konsultasi bersama Jabatan Peguam Negara dan libat urus dengan Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) khususnya dari aspek sokongan empirikal serta validasi pernyataan-pernyataan permasalahan yang penting dalam proses pembangunan Rang Undang-Undang (RUU) yang berkaitan.  

 

Pelan AntiRasuah Nasional 2019-2023 (NACP) yang dilancarkan oleh Kerajaan pada Januari 2019 untuk mencapai aspirasi supaya `Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah’ adalah  rangka kerja nasional yang dibangunkan untuk membawa transformasi menyeluruh kepada sistem tadbir urus politik, pentadbiran sektor awam, penguatkuasaan undang-undang, sistem undang-undang dan kehakiman dan tadbir urus korporat Malaysia dalam membentuk sebuah negara dan masyarakat yang berintegriti serta bebas rasuahDaripada 115 inisiatif yang terkandung di dalam NACP, sebanyak 12 inisiatif diterajui oleh SPRM, manakala baki 103 lagi diterajui oleh lain-lain Kementerian/ Jabatan/ Agensi.

 

Antara inisiatif lain dalam NACP yang diterajui oleh SPRM adalah pemerkasaan SPRM melalui perlantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPPR) yang diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan, bertujuan untuk meningkatkan kebebasan serta keberkesanan SPRM dalam pelaksanaan fungsi-fungsinya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta 694.

 

SPRM turut diberi kepercayaan untuk menerajui beberapa inisiatif lain serta membantu lain-lain agensi peneraju dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif di bawah bidang-bidang keutamaan NACP seperti berikut:

 

• Tadbir Urus Politik

-  Memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran Kerajaan

 

• Pentadbiran Sektor Awam

- Memperkasa perkhidmatan awam ke arah tadbir urus yang baik

- Menambahbaik keberkesanan pendidikan dan pembangunan profesional berterusan dalam kalangan pegawai awam melalui program berdasarkan kepada Human Governance

 

• Perolehan Awam

- Meningkatkan ketelusan perolehan awam, pengurangan risiko rasuah, penyelewengan pasaran dan antipersaingan

 

• Penguatkuasaan Undang-Undang

- Menambah baik Perundangan Agensi Penguatkuasaan (contohnya peruntukan perundangan baharu berhubung salah laku pegawai badan awam, perisytiharan harta anggota pentadbiran & ahli parlimen, penjualan konrak kerajaan, perisytiharan pemilikan benefisiari, dll.)

 

NACP adalah refleksi kepada komitmen Kerajaan dalam memerangi rasuah yang seiring dengan agenda memartabatkan tadbir urus baik serta tahap integriti yang tinggi di dalam negara. SPRM komited dalam memainkan peranannya di dalam NACP dengan kerjasama ketua-ketua agensi peneraju dan agensi rakan strategik bagi memastikan kelangsungan pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang akan memberi manfaat menyeluruh kepada pemegang taruh dalaman dan luaran.

 

 

INTEGRITI NEGARA DAN RAKYAT 

 

Namun begitu, tanpa iltizam politik (political will) yang kuat dan berterusan dalam merealisasikan usaha penambahbaikan serta reformasi, cadangan hanya akan kekal sebagai cadangan. Kebebasan, ketelusan dan profesionalisme SPRM bukan sahaja perlu dilihat malah perlu turut dirasai dalam segala tindakan yang ia lakukan.

 

Tanpanya,  perasuah dan pesalah laku menjadi lebih berani, seterusnya rasuah dan penyelewengan akan kian berleluasa di semua peringkat pentadbiran korporat dan awam. Integriti akan diketepikan dan salah guna kuasa akan menjadi budaya politik dan perniagaan.

 

Sementara itu, mereka yang berkuasa dan korup akan menguasai sumber negara, dan majoriti rakyat hanya akan mendapat sisa yang ditinggalkan oleh mereka.  Kesan ini boleh menyebabkan pembangunan Malaysia terbantut kerana amalan rasuah merampas sumber hak rakyat untuk pembangunan – sumber kewangan untuk perkembangan infrastruktur yang diperlukan seperti sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan terutamanya di kawasan luar bandar dan sumber untuk membangunkan negara secara amnya.

 

Sementara itu, Transparency International (Malaysia) pada 28 Januari 2021 yang lalu telah melaporkan bahawa kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2020 jatuh 6 tangga, dengan ranking  ke-57 (skor 53) berbanding  51 (skor 51) pada 2019, dari kalangan 180 negara yang terlibat dalam kajian persepsi ini. Dari kalangan negara-negara ASEAN pula, Malaysia mengekalkan rankingnya di tangga ke-3 di belakang Singapura [(3) dengan skor 85] dan Brunei [(35) dengan skor 60].

 

Penurunan kedudukan CPI ini berupaya menjejaskan prospek pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam Malaysia,  dan pengekalan pelaburan sedia ada jika ia diyakini memberi gambaran akan tahap anti-rasuah, governans dan integriti yang rendah  di Malaysia. Dalam jangka masa panjang, kemakmuran ekonomi Malaysia akan terjejas dan kesejahteraan rakyat akan turut tergugat oleh domino effects.

 

Malaysia diberkati oleh Allah s.w.t. dengan kekayaan sumber alam yang melimpah ruah. Disokong oleh tahap pendidikan dan vokasional rakyat yang kompetitif di rantau Asia Pasifik, pengurusan sumber kekayaan ini seharusnya mampu memacu Malaysia ke arah kecemerlangan baik dari aspek pembangunan fizikal, spiritual, nilai dan juga integriti.  .

 

Keberkesanan membasmi gejala rasuah tidak bergantung kepada kekuatan dan kebebasan SPRM semata-mata. Setiap orang sepatutnya sedar bahawa tiada sesiapa yang kebal terhadap tindakan undang-undang,  tidak kira di mana sahaja mereka berada di peringkat pemerintahan dan pentadbiran negara – legislatif, eksekutif mahupun kehakiman.

 

Natijahnya, reformasi dalam pencegahan rasuah tidak terhad kepada penguatkuasaan sahaja, tetapi pendidikan pada tahap paling asas, bermula dari bangku sekolah. Integriti, nilai keagamaan dan etika, jati diri dan pemerkasaan identiti individu serta partiotisme adalah nilai-nilai yang perlu diterap dari kecil.  

 

Apabila integriti diraikan dan dimartabatkan, dan bukannya keagungan terhadap wang dan kuasa, waktu itulah kita boleh berbangga dengan negara dan rakyat yang berpegang teguh kepada integriti dan bertoleransi sifar terhadap rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.


Hit : 3158