Tipu pinjaman 4.2j pound: 3 ditahan termasuk pengurus warga Korea
KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan tiga individu termasuk seorang pengurus besar syarikat warga Korea kerana disyaki mengemukakan dokumen palsu bertujuan mendapatkan pinjaman berjumlah kira-kira 4.2 juta pound (kira-kira RM19.6 juta) daripada sebuah syarikat antarabangsa di sini.
Kesemua suspek berusia lingkungan 30an hingga 40an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya antara jam 5 petang dan 12 malam semalam ketika hadir untuk memberi keterangan.
Majistret Mahkamah Putrajaya, Shah Wira Abdul Halim telah membenarkan dua suspek termasuk pengurus besar tersebut ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 1 April manakala seorang lagi selama lima hari sehingga 3 April ini, selepas pihak SPRM mengemukakan permohonan tersebut di mahkamah berkenaan pagi ini.
Menurut sumber, warga Korea tersebut merupakan pengurus besar di syarikat antarabangsa tersebut dan dipercayai bersubahat bersama dua individu berkenaan.
Katanya, mereka dikatakan membuat pinjaman tersebut bagi tujuan pembelian 24 buah kenderaan terpakai daripada luar negara pada tahun 2015.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan jelas beliau kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
— BebasNews