Berita Menarik

Guru besar, rakan direman komplot rasuah 27 projek bangunan SRA

SHAH ALAM – Dua guru termasuk seorang guru besar yang disyaki berkomplot dalam rasuah projek naik taraf 27 bangunan Sekolah Rendah Agama (SRA) direman bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

Perintah reman selama empat hari terhadap suspek lelaki yang merupakan guru besar berusia 50 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali selepas membenarkan permohonan reman daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut direman bagi tempoh sama adalah guru wanita berusia 46 tahun. Kedua-duanya bekerja di SRA sama di negeri ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan antara pukul 5 hingga 6 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Selangor.

Katanya, berdasarkan siasatan mereka telah bekerjasama mengesyorkan bagi mendapatkan kerja-kerja menaik taraf dan menyelenggara bangunan SRA kepada sebuah syarikat kontraktor, dua tahun lalu.

“Projek itu melibatkan 27 buah bangunan SRA bagi daerah di Kuala Selangor dan Petaling.

“Untuk imbuhan, mereka dipercayai telah meminta dan menerima wang berjumlah keseluruhan RM182,060 daripada syarikat berkenaan,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Sumber sama turut memaklumkan, berdasarkan siasatan awal mendapati syarikat kontraktor yang disyorkan itu tidak mempunyai kaitan kekeluargaan dengan kedua-dua suspek.

Tambah sumber, guru besar tersebut dipercayai mempunyai pengaruh dalam penawaran projek tersebut.

“Suspek dikatakan telah berkhidmat selama 25 tahun dan telah menjawat jawatan sebagai guru besar selama 14 tahun bermula tahun 2008,” jelasnya.

Dalam pada itu, seorang Inspektor polis berusia 30-an direman empat hari dalam prosiding yang turut dilakukan di hadapan Mohamed Redza.

“Suspek dipercayai telah menerima rasuah RM13,000 daripada seorang individu agar tidak meneruskan siasatan dan melepaskan individu berkenaan yang melakukan kesalahan cabul terhadap seorang wanita pada Jun tahun 2020,” jelasnya.

Sumber : Kosmo Online

Hit : 1912