Berita Menarik

Rasuah pegawai TNB, 2 peniaga dipenjara, denda

SEREMBAN: Dua peniaga masing-masing dipenjara 14 hari dan denda RM75,000 selepas mengaku bersalah menawarkan rasuah RM15,000 kepada pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menutup aktiviti mencuri bekalan elektrik untuk perlombongan bitcoin di sekitar Negeri Sembilan, tahun lalu.

Tertuduh, Goh How Keong, 50 dan Gan Tze Lee, 49, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda, tetapi mereka membayar denda dan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 28 Februari lalu.

Hakim juga mengarahkan wang rampasan aktiviti Bitcoin dengan nilai keseluruhan RM83,380 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan niat bersama telah secara rasuah memberikan satu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM15,000 kepada pegawai TNB sebagai dorongan kepadanya untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengusaha premis yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990.

Kesalahan itu dilakukan di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Jalan Kenari, Taman Paroi Jaya di Seremban pada 5 November 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, peguam Siew Yen Mee yang mewakili kedua-dua tertuduh dalam rayuannnya memohon hukum paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya dengan alasan How Keong menghidap penyakit darah tinggi dan dan perlu menyara isterinya yang tidak bekerja dan mempunyai empat anak.

"Anak sulung tertuduh kedua Tze Lee pula perlu menjalani pembedahan di kepala selepas terbabit dalam kemalangan tahun lalu, dia juga mempunyai seorang isteri dan dua anak yang masih kecil," katanya.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh memandangkan kes itu membabitkan kepentingan awam.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh telah menawar dan memberikan wang tunai secara rasuah kepada pegawai TNB Zon Selatan sebagai dorongan untuk melindungi aktiviti mencuri bekalan elektrik di beberapa premis sekitar Negeri Sembilan yang menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin sejak pertengahan tahun 2021.

Sumber : Berita Harian

Hit : 1606