Berita Menarik

Ops Power: pelbagai aset, wang tunai dan wang kripto disita

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menahan 18 individu bagi membantu siasatan kes suapan rasuah oleh sindiket bitcoin kepada pekerja Tenaga Nasional Bhd. (TNB) menerusi Ops Power, baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sepatutnya menahan 23 orang individu kesemuanya, namun lima daripadanya tidak dapat ditahan lagi kerana positif Covid-19.

Beliau berkata, kesemua suspek lelaki berusia 30 hingga 60 tahun itu adalah warga tempatan dan salah seorang mereka termasuk dalang sindiket berkenaan.

“Siasatan mendapati, suspek dipercayai menawarkan wang rasuah antara RM3,000 hingga RM300,000 kepada pekerja TNB supaya tidak diambil tindakan sebarang tindakan dan membocorkan maklumat operasi.

“Kami turut merampas wang rasuah berjumlah RM2.37 juta membabitkan 998 premis melombong bitcoin selain wang tunai RM281,180 daripada kesemua suspek yang ditahan.

“Kami juga turut membekukan aset berjumlah RM4.47 juta aset membabitkan 97 individu, 29 syarikat dan 126 akaun bank selain menyita 1,157 mesin bitcoin bernilai RM2.34 juta.

“Sitaan turut membabitkan nilai e-wallet berjumlah RM82,000 dan wang kripto bernilai USD 25,893.46 selain lima buah kereta mewah jenis BMW, Honda Accord, Toyota Vellfire, Ford Ranger dan Audi,” katanya.

Katanya, tangkapan sama turut membabitkan seorang suspek yang menguasai 500 premis bitcoin yang beroperasi di sembilan buah negeri.

Azam berkata, pihaknya berjaya mengesan 998 premis melombong bitcoin di seluruh negara yang dikesan mencuri bekalan elektrik dengan cara menggunakan alat khas bagi mengurangkan jumlah penggunaan elektrik bulanan.

Menurutnya, data TNB mendedahkan kecurian elektrik hasil daripada perlombongan bitcoin ini menyebabkan TNB kerugian sehingga RM2.3 bilion bagi tempoh 2018 hingga 2021.

“Kami difahamkan, TNB telah melakukan tindakan penguatkuasaan termasuk memotong elektrik di premis berkenaan namun, aktiviti sama tetap berlaku sehinggalah SPRM bekerjasama menyiasat perkara itu menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati, sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan berunding dengan pegawai TNB semasa operasi dijalankan.

Jelasnya lagi, pembayaran rasuah akan dilakukan dengan dua kaedah iaitu secara tunai dan wang kripto selain ia turut dibayar secara bulanan.

“Sindiket bitcoin ini menggunakan mesin-mesin melombong bitcoin yang terkini dan dibeli dari negara China sebelum di bawa masuk ke negara ini melalui Pelabuhan Klang dan diisytihar sebagai peralatan teknologi maklumat,” katanya.

Sumber : UTUSAN ONLINE


Hit : 1789