Berita Menarik

Pembantu penguat kuasa didenda RM2.34 juta, jel tiga tahun

SHAH ALAM: Seorang Pembantu Penguatkuasa Kawal Selia Padi dan Beras Selangor dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM2.34 juta oleh Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Keputusan itu dibuat mahkamah berkenaan selepas mendapati mahkamah sesyen terkhilaf dalam memutuskan keraguan munasabah terhadap tiga pertuduhan pilihan menerima rasuah hampir RM500,000, berhubung kuota beras SST, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Abd. Halim Aman dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati terdapat elemen-elemen pertuduhan yang berjaya dibuktikan terhadap tertuduh, Ibrahim Mat Amin, 62, di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2019.

Katanya, tertuduh telah gagal untuk mematahkan anggapan di bawah Seksyen 50 Akta yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM300,000 dan jika gagal membayar denda, dia dikenakan hukuman penjara enam bulan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia dijatuhi hukuman penjara masing-masing tiga tahun dan denda RM1.02 juta dan jika gagal bayar 10 atau 18 bulan penjara.

Kesemua hukuman penjara itu diarah dijalankan bermula dari tarikh jatuh hukum iaitu hari ini.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, Ibrahim sebagai pegawai badan awam menerima suapan RM468,000 daripada Pengarah Thai Hong Chan (KL) Sdn. Bhd., Ter Thian Tin, sebagai upah telah membantu syarikat itu mendapatkan kuota beras ST 15 berjumlah 1,500 tan metrik bagi bulan Oktober, November dan Disember, 2015 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat itu di Seksyen U5, Shah Alam, dekat sini antara 9 November dan 10 Disember 2015. Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

Jika sabit kesalahan, bapa kepada 11 orang anak itu berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab dan Natrah Fareha Rahmat mengemukakan seramai lapan saksi pendakwaan manakala pembelaan diwaili peguam bela Mohd. Sofian Jamaluddin memanggil seorang saksi iaitu tertuduh untuk memberi keterangan. Kes dituduh kali pertama di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 18 Mac 2019.

Pada 9 Julai 2020, Mahkamah Sesyen memutuskan tertuduh berjaya membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan memutuskan dia dilepaskan dan dibebaskan. Pihak pendakwaan bagaimanapun memohon rayuan bagi keputusan tersebut di mahkamah tinggi.

sumber : UTUSAN


Hit : 1720