Berita Menarik

Suami isteri ditahan salah guna kuasa, tuntutan palsu

Johor Bahru: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan suami isteri bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan kuasa dan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM40,000.

Menurut sumber, wanita berusia 30 tahun dan suaminya yang berusia 32 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor pada jam 11.30 pagi tadi, selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, pada 2020 hingga tahun lalu, wanita terbabit yang bertugas sebagai seorang pembantu tadbir di sebuah jabatan daerah menggunakan kedudukannya dengan memberikan kerja pembekalan kepada syarikat suaminya.

Bagaimanapun, kerja-kerja pembekalan yang sepatutnya dibuat oleh syarikat berkenaan, tidak dilaksanakan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 23 dan 18 Akta SPRM 2009.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok, bagi mendapatkan permohonan reman.

Sumber : Harian Metro



Hit : 1380